PEMBEDAHAN tumit kaki kiri memaksa atlet lompat kijang negara, Muhammad Hakimi Ismail melupakan aksi untuk tempoh tiga bulan.
Juara Sukan SEA berusia 30 tahun itu hanya dijangka akan kembali ke gelanggang pada temasya sama di Hanoi, Vietnam yang dijadualkan berlangsung Mei tahun depan.
Pemenang pingat emas temasya dwi tahunan tiga kali berturut-turut itu menjelaskan, kecederaan dialaminya bertambah parah sekali gus memaksanya menjalani pembedahan.
"Menurut doktor, pemulihan tumit saya untuk menjalankan latihan lompatan akan mengambil masa tiga bulan atau lebih bergantung kepada keadaan saya. Jadi saya harus menjalani proses pemulihan ini dengan sebaik mungkin.
"Namun begitu, saya berasa amat lega menjalani prosedur pembedahan ini sebab saya boleh mencapai tahap yang lebih tinggi dalam latihan saya.
“Namun, saya harus berhati-hati dan sentiasa sedar akan risiko kecederaan,” katanya.
Walaupun peluangnya beraksi di Sukan SEA Vietnam agak tipis kerana tidak dapat menyertai mana-mana kejohanan kelayakan, Muhammad Hakimi masih positif dan mensasarkan untuk layak ke Sukan Komanwel Birmingham 2022 pada 28 Julai hingga 8 Ogos dan Sukan Asia China (10 hingga 25 September).
"Selepas sembuh sepenuhnya, saya sasarkan Sukan Asia dan Sukan Komanwel tahun depan,” katanya.
Berdasarkan sejarah penyertaan di Sukan Asia, Muhammad Hakimi meraih tempat keenam pada Sukan Asia pada edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan dan kedudukan ketujuh Sukan Asia 2018 di Jakarta-Palembang. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram