JUVENTUS boleh menjadi lebih bagus musim ini sekiranya Cristiano Ronaldo meninggalkan pasukan lebih awal, kata pemain pertahanan kelab Serie A itu, Giorgio Chiellini.
Menurutnya, tindakan Ronaldo yang berpindah ke Manchester United beberapa hari selepas saingan Serie A bermula memberikan impak besar kepada pasukan itu.
"Sebelum Ronaldo meninggalkan pasukan, kami sudah mencapai satu tahap hubungan dan Ronaldo memerlukan inisiatif serta pasukan baharu yang boleh bermain untuknya.
"Apabila Ronaldo mendapat pasukan yang mengikut kehendaknya, maka dia boleh menjadi penentu perlawanan," katanya.
Tambahnya lagi, Ronaldo sudah membuktikan perkara itu dalam beberapa bulan dan telah menunjukkannya dalam tiga tahun bersama Juventus.
Jelasnya, jika Ronaldo kekal di Juventus, ia akan menjadi nilai tambah dan pasukan dapat menggunakan kemampuannya.
"Tetapi, saya tahu dia lebih fikirkan mengenai masa sekarang berbanding masa depan.
"Dia meninggalkan pasukan pada 28 Ogos dan saya rasakan lebih baik jika dia tinggalkan pasukan lebih awal," ujarnya.
Katanya lagi, ketika Ronaldo tinggalkan pasukan, Juventus gagal meraih kemenangan dalam beberapa perlawanan.
Hal itu menurutnya, tidak akan berlaku jika Ronaldo keluar lebih awal.
"Jika dia meninggalkan pasukan pada 1 Ogos, kami akan ada masa untuk membuat persiapan," keluhnya.
Terdahulu, Juventus memulakan saingan liga musim ini dengan persembahan kurang memuaskan.
Pasukan itu gagal meraih kemenangan dalam empat perlawanan awal Serie A selepas pemergian Ronaldo.
Namun, selepas hampir dua bulan, skuad Bianconeri itu kembali pada landasan sebenar dengan merekodkan tujuh perlawanan tanpa kalah dan bakal berdepan seteru utama, Inter Milan pada Isnin (jam 2.45 pagi waktu Malaysia). — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram