MALAM sebelum aksi Liga Juara-Juara menentang Manchester United pada Khamis, pemain Atalanta dilaporkan tidak tidur lena dan sering terjaga pada waktu malam.
Semuanya bukan kerana takut untuk menentang The Red Devils yang diperkuatkan Cristiano Ronaldo, sebaliknya sering ‘diganggu’ bunyi bising penggera di hotel penginapan di kota Manchester.
Salah seorang pelanggan yang turut menginap di hotel sama dengan skuad Atalanta menjelaskan alat penggera berbunyi sebanyak enam kali iaitu pada jam 4.51 pagi, 5 pagi, 5.36 pagi, 6.11 pagi, 6.31 pagi dan 7.13 pagi.
Isteri pemain tengah Atalanta, Ruslan Malinovskiy, iaitu Roksana Malinovskiy turut memuat naik situasi itu di media sosial dan menuduh penduduk tempatan di Manchester sengaja menganggu persiapan pasukan lawan.
Malah Roksana juga mula membayangkan bahawa penyokong Atalanta juga mungkin akan bertindak dengan tindakan sama pada aksi timbal balik bulan depan.
“Malam yang teruk di Manchester. Penggera kebakaran berbunyi hampir sepanjang malam, dibunyikan sebanyak enam kali.
“Ia berlaku ketika pasukan tiba dan hanya pada waktu malam! Adakah anda rasa ia adalah tidak disengajakan? Saya tidak fikirkan begitu.
“Saya harap penyokong kami akan menyokong pasukan di laman sendiri dan tidak mustahil perkara sama akan tiba-tiba berlaku," kata Roksana.
Perlawanan di Old Trafford itu dimenangi Man. United 3-2.
Awal bulan depan, Man United akan berkunjung ke Bergamo untuk aksi timbal balik berdepan Atalanta di Stadium Gewiss. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram