'Saya mahu kekal di Anfield sehingga penghujung karier'


  • Podium
  • Sabtu, 23 Okt 2021

SALAH sudah menjaringkan tujuh gol dan empat bantuan gol dalam lapan perlawanan liga musim ini. — Reuters
PEMAIN sayap sensasi Liverpool, Mohamed Salah akhirnya menyatakan kesetiaannya terhadap kelab Merseyside itu apabila mengakui mahu menghabiskan kariernya di kelab itu.

Pemain Mesir itu dinilai oleh bosnya, Jurgen Klopp sebagai pemain terbaik di dunia ketika ini, setelah menjaringkan 12 gol dalam 11 perlawanan untuk The Reds musim ini.

Kontraknya ketika ini bakal tamat pada akhir musim 2022/23, tetapi Liverpool dilaporkan berhasrat untuk mengikat pemenang kasut emas Liga Perdana Inggeris (EPL) 2018/19 itu lebih lama.

Walaupun gembira berada di Anfield, Salah mahu mendengar tawaran Liverpool terlebih dahulu sebelum menandatangani komitmen jangka panjang, dan dia tahu banyak kelab ternama Eropah sedang menunggu untuk menawarkan kepadanya wang besar sekiranya dia berhasrat untuk berpindah.

Salah ketika ini berusia 29 tahun, dan kontrak seterusnya kemungkinan besar merupakan perjanjian besar yang terakhir dalam kariernya.

Bercakap kepada media Britain, Salah mengakui mahu kekal di Liverpool sehingga penghujung kariernya.

"Ini tidak bergantung pada saya. Sekiranya anda bertanya kepada saya, saya ingin kekal sehingga hari terakhir karier bola sepak saya.

"Tetapi saya tidak dapat mengatakan banyak tentang itu, itu bukan di tangan saya. Itu bergantung pada kehendak kelab.

"Pada masa ini, saya tidak dapat melihat diri saya bermain menentang Liverpool. Itu akan membuat saya sedih.

"Ia sulit. Saya tidak mahu bercakap tentangnya, tetapi itu akan membuat saya sangat sedih. Mari kita lihat apa yang akan terjadi pada masa depan," kata Salah.

Pada Ahad, Salah akan beraksi menentang Manchester United, di mana dia menjaringkan tiga gol dalam dua kunjungan menentang The Red Devils musim lalu, dua ketika tewas dalam aksi Piala FA dan satu ketika 4-2 dalam saingan EPL.

Tiada pemain Liverpool yang pernah mencetak gol dalam tiga pertandingan berturut-turut menentang Manchester United, tetapi Salah berjaya menjaringkan gol dalam sembilan pertemuan terakhirnya dalam semua pertandingan.

Ia akan menjadi perkara yang sangat mengejutkan jika dia gagal menjaringkan gol di Old Trafford pada Ahad, dengan gawang United dibolosi dalam sembilan aksi terakhir di laman sendiri.

Perbandingan dilakukan antara Salah dan penyerang United, Cristiano Ronaldo, dengan aksi seterusnya kemungkinan besar bakal ditentukan oleh kedua-dua pemain itu.

Pada musim pertamanya di Liverpool, Salah menjaringkan 32 gol, sekali gus memecahkan rekod 31 gol milik Ronaldo yang dilakar dalam semusim.

Dari segi bantuan gol, Salah dua kali mencapai angka 10, ketika musim 2017/18 dan musim Liverpool menjadi juara pada 2019/20.

Angka terbaik yang pernah direkodkan Ronaldo pula adalah lapan bantuan gol yang dicatatkan pada musim 2006/07.

Musim ini, Salah berada di tangga teratas carta penjaring liga dengan tujuh gol, bersama penyerang Leicester City, Jamie Vardy. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram