Raiola dalang, pengaruh Pogba ke Real Madrid secara percuma


  • Podium
  • Isnin, 18 Okt 2021

POGBA dilaporkan bakal meninggalkan Man. United secara percuma pada musim panas 2022 setelah enam musim bersama kelab itu. — Getty Images

PAUL Pogba boleh menolak kontrak baharu di Manchester United demi menyertai Real Madrid secara percuma pada musim panas 2022.

Perkara itu dikatakan dirancang oleh ejen Pogba, Mino Raiola.

Pemenang Piala Dunia dari Perancis itu bergabung semula dengan Man.United pada 2016 setelah memenangi empat gelaran Seria A berturut-turut dengan Juventus, namun gagal meraih kejayaan lebih besar di Old Trafford sejak itu.

Pemain berusia 28 tahun itu berjaya melakukan tujuh bantuan hantaran (assist) menerusi tujuh perlawanan pertama kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, tetapi belum membuat kesimpulan mengenai masa depannya.

Pogba akan meninggalkan Man. United secara percuma pada musim panas depan setelah enam musim penuh bersama kelab itu, sebelum menunaikan hasratnya untuk bermain di Sepanyol.

Selain itu, media antarabangsa melaporkan bahawa Real Madrid dapat menawarkan Pogba yang sudah menjadi ejen bebas ketika itu sebanyak £12 juta (RM579 juta) setahun, selain bonus perpindahan sekitar £25 juta (RM1.2 bilion) untuk menandatangani perjanjian itu.

Raiola ingin melaksanakan perkara itu, namun akibatnya akan ditanggung oleh kliennya, Pogba yang dikatakan memiliki hubungan baik dengan Ole Gunnar Solkskjaer.

Cuma, masa depan Solskjaer yang tidak menentu juga memainkan peranan penting untuk mengubah fikiran Pogba terutamanya apabila The Red Devils kecundang kepada Leicester City 2-4 dalam aksi EPL minggu lepas.

Sebelum ini, Solskjaer pada Ogos lalu pernah memberi komen mengenai masa depan pemain tengah itu di Old Trafford.

"Ia sering dibahas dan ditulis tetapi setiap perbincangan yang saya lakukan dengan Paul (Pogba) adalah perkara yang positif.

"Dia tahu apa yang kita mahukan. Semoga dia akan teruskan perkara itu kita akan membuat keputusan bersama.

"(Situasinya) akan selalu seperti ini dengan Paul - dia 'magnet' media," katanya. — Agensi

Pogba, United, Real Madrid