Tempang tanpa Lukaku dan Werner, Chelsea terdesak buru Haaland


  • Podium
  • Khamis, 21 Okt 2021

LUKAKU terpaksa diusung keluar angkara kecederaan ketika beraksi berdepan Malmo dalam aksi Liga Juara-Juara awal pagi tadi. — Getty Images

CHELSEA dilaporkan terdesak memburu tanda tangan penyerang sensasi, Erling Haaland secepat mungkin rentetan kecederaan yang dialami dua penyerang utama, Romelu Lukaku dan Timo Werner semasa mengatasi Malmo 4-0 dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL) awal pagi Khamis.

Pengendali The Blues, Thomas Tuchel sebelum ini mengesahkan Haaland dalam radar pihaknya musim depan, namun beliau dilihat tidak lagi boleh menunggu lama ekoran kecederaan Lukaku dan Werner yang terpaksa dibawa keluar sebelum babak pertama awal pagi tadi.

"Kami perlu menunggu laporan perubatan kedua-dua pemain untuk mengetahui sejauh mana tahap kecederaan (Lukaku dan Werner), namun apa yang pasti kedua-duanya terpaksa diketepikan dalam beberapa perlawanan selepas ini," kata Tuchel.

Terdahulu sebelum perlawanan, Tuchel memberitahu media bahawa Lukaku tampak keletihan dalam aspek mental dan fizikal, namun masih diturunkan awal pagi tadi.

Jorginho mencetak dua gol The Blues dalam perlawanan itu sementara Andreas Christensen dan Kai Havertz juga tidak ketinggalan meletakkan nama selaku penjaring.

Dengan kemenangan itu, anak-anak buah Tuchel kini menghuni tangga kedua Kumpulan H dengan enam mata selepas tiga perlawanan, kurang tiga mata di belakang Juventus.

Selepas ini, Chelsea akan melayan kunjungan Norwich City di Stamford Bridge dalam aksi Liga Perdana Inggeris pada Sabtu sebelum berdepan Southampton dalam aksi pusingan kalah mati Piala Liga pada 27 Oktober. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram