Sarawak United belum pasti ke Liga Super


  • Podium
  • Khamis, 21 Okt 2021

SARAWAK United berdepan risiko turun ke liga lebih bawah jika didapati bersalah.

NAIB juara Liga Perdana, Sarawak United FC berdepan hukuman berat sekiranya terbukti terdapat masalah tunggakan gaji yang gagal diselesaikan pasukan itu, kata Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Stuart Ramalingam berkata, tindakan paling serius adalah lesen ditarik balik selain larangan perpindahan pemain atau diturunkan ke liga lebih rendah.

Namun kata Stuart, tindakan itu hanya boleh diambil selepas segala proses termasuk siasatan dilakukan sepenuhnya oleh First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab MFL.

"Perkara ini (tindakan) selepas siasatan yang akan dibuat oleh unit pelesenan kelab dan dibawa semula FIB.

“Dalam kes Sarawak United, ada dua perkara akan berlaku jika didapati memang ada tunggakan yang tidak dapat diselesaikan.

“Antara keputusan yang boleh diambil adalah larangan perpindahan, diturunkan dari Liga Super ke Liga Perdana atau paling serius lesen akan ditarik balik,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Khamis.

Beliau mengulas tentang risiko yang dihadapi Sarawak ekoran isu tunggakan gaji sehingga dua bulan melibatkan pemain dan pegawai pasukan tersebut.

Mengulas lanjut tentang kekosongan tempat yang ditinggalkan Sarawak United jika diturunkan liga, Stuart menjelaskan senario itu hanya boleh diputuskan oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL.

Jika diturunkan ke liga lebih bawah, ia akan menjadi kerugian besar buat Sarawak United selepas mereka berjaya naik ke Liga Super musim depan selaku naib juara Liga Perdana musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram