LUQMAN Hakim Shamsudin belum past dapat menempatkan diri dalam kesebelasan utama pada Kelayakan Piala Asia Bawah 23 Tahun (B-23) 2022, di Ulaanbaatar, Mongolia, bermula 25 hingga 31 Oktober ini.
Walaupun bermain untuk kelab Belgium, KV Kortrijk sejak tahun lepas, penyerang muda sensasi negara itu berkata, situasi berkenaan bukanlah ‘tiket automatik’ menjadi penggempur utama negara.
Hal ini kerana katanya, pemain lain juga mempunyai keistimewaan sendiri dalam usaha memikat hati ketua jurulatih, Brad Maloney, untuk tersenarai dalam kesebelasan utama negara pada saingan kelayakan itu nanti.
“Untuk saya sendiri persaingan agak sukar kerana pemain lain ada kehebatan sendiri... Orang ingat saya dah main luar namun saya tak ambil mudah pandangan sedemikian.
“Terpulang kepada jurulatih untuk menilai, tugas pemain seperti saya hanya buat yang terbaik dan bekerja keras di dalam setiap sesi latihan dijalankan,” katanya.
Pada kempen kelayakan itu nanti, Malaysia diundi dalam Kumpulan J bersama Laos, Mongolia selaku tuan rumah dan Thailand, dengan kesemua aksi akan berlangsung di Stadium Persekutuan Bola Sepak Mongolia (MFF) di Ulaanbaatar.
Malaysia akan bertemu Laos pada 25 Oktober, Mongolia (28 Oktober) dan Thailand (31 Oktober) dalam usaha memburu slot ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2022 di Uzbekistan pada Jun.
Sementara itu, pemain berusia 19 tahun itu percaya, rakan sepasukannya mampu mengadaptasi dengan cuaca sejuk sepanjang saingan berkenaan berlangsung di Mongolia.
Luqman mengakui, walaupun cuaca sejuk mampu mengganggu tahap pernafasan para pemain, namun beliau yakin tempoh empat hari sejak tiba di Mongolia pada Khamis, sebelum membuka tirai kempen kelayakan Ahad ini, membantu mereka menyesuaikan diri dengan situasi berkenaan.
Dalam pada itu, beliau mahu membuktikan sekiranya diturunkan kelak, dapat membantu Malaysia menjuarai peringkat kumpulan seterusnya, menempah slot automatik ke pusingan akhir tahun depan.
Menyifatkan Thailand sebagai lawan yang kuat, Luqman turut mengingatkan rakan sepasukannya agar tidak memandang mudah kemampuan tuan rumah dan Laos dalam aksi kelayakan itu.
Pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu juga mendedahkan, berat badannya kini telah bertambah sebanyak lapan kilogram (kg) iaitu dari 59kg ke 67kg selepas mewakili kelab KV Kortrijk, susulan aspek pemakanan seimbang diterapkannya di sana seterusnya menyaksikan perubahan fizikal badannya yang dilihat lebih tegap ketika ini.
“Tak boleh cheat day, setiap bulan kena ukur berat kerana kelab ada tahap nak ukur mana yang lebih atau mana yang tak. Setakat ini berat 67kg adalah ideal namun banyak kerja perlu dibuat lagi untuk memperkuatkan ketahanan fizikal badan,” katanya.
Sementara itu, Brad percaya, anak buahnya akan dapat mengharungi cuaca sejuk itu menjelang perlawanan pertama Kumpulan J menentang Laos, Ahad ini.
Beliau juga gembira dengan prestasi skuad bimbingannya yang mencatat dua kemenangan menentang pasukan Liga Super dalam perlawanan persahabatan yang diadakan baru-baru ini.
“Prestasi pemain semakin baik dan banyak aspek positif yang diterapkan dalam perlawanan persahabatan itu. Saya agak berpuas hati dengan skuad saya buat masa ini,” katanya.
Walaupun kalah 1-2 dalam perlawanan pertama menentang juara Liga Premier Negeri Sembilan FC pada 12 Okt, namun skuad negara bangkit semula dengan dua kemenangan, menewaskan pasukan Liga Super, Pulau Pinang FC 2-1 Jumaat lalu dan Kedah Darul Aman FC 2-0, Isnin lepas. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram