Perak FC 'buang' empat pemain import


  • Podium
  • Khamis, 21 Okt 2021

AZMAN berharap pemain sedia ada akan kekal fokus dan terus berjuang bagi mencapai sasaran sekurang-kurangnya layak ke suku akhir Piala Malaysia. — Utusan Online

KEGAGALAN empat pemain import pasukan Perak FC menonjolkan prestasi yang memberangsangkan, khususnya dalam membantu The Bos Gaurus menghadapi saingan Liga Super dan Piala Malaysia musim ini menyebabkan penamatan kontrak pada 18 Oktober lepas.

Pengurus Besar Perak FC, Azman Noh berkata, keputusan itu tidak dibuat secara semberono sebaliknya ia diputuskan secara kolektif, selepas perbincangan terperinci oleh pihak pengurusan bersama barisan kejurulatihan pasukan.

“Saya akui pemain import penting untuk pasukan jika mereka mampu menyumbang. Kalau hanya sebagai penumpang di dalam pasukan, saya fikir lebih baik kita beri peluang kepada pemain tempatan untuk beraksi.

“Bagi saya penamatan kontrak semua pemain import itu turut menjimatkan perbelanjaan terutama dalam menghadapi baki saingan Piala Malaysia ini,” katanya.

Empat tonggak import yang ditamatkan kontrak itu adalah penyerang kelahiran Ghana Nana Poku, penyerang berasal dari Ivory Coast Ghislain Guessan, pemain tengah dari Lubnan Samir Ayass serta pertahanan naturalisasi dari Indonesia Zoubairou Garba.

Perak FC ketika ini hanya mengekalkan tiga tonggak import iaitu pertahanan dari Lubnan Jad Noureddine, pemain tengah kelahiran England Charlie Machell serta penyerang dari Argentina Sergio Aguero.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya mengharapkan para pemain sedia ada akan kekal fokus dan terus berjuang bagi mencapai sasaran sekurang-kurangnya layak ke peringkat suku akhir Piala Malaysia.

“Saya akui ia sukar (suku akhir) lebih-lebih lagi kita dibarisi ramai pemain muda yang kurang pengalaman namun saya yakin dengan semangat dan kesungguhan mereka, kita mampu melakar kejutan,” katanya.

Mengulas aksi persahabatan itu, beliau berkata, ia sebagai medan pemanas badan selain menguji keserasian semua pemain dalam memastikan mereka bersedia dari aspek mental dan fizikal sebelum turun menghadapi Terengganu FC pada 30 Okt ini.

“Soal menang, seri atau kalah sekalipun (perlawanan persahabatan) itu bukan keutamaan. Kita hendak tengok percaturan dari sudut taktikal dan keserasian pemain di setiap posisi,” katanya.

Dalam perlawanan itu, The Bos Gaurus mencatatkan keputusan seri 2-2 menentang Kedah Darul Aman FC yang menyaksikan gol pasukan tuan rumah dijaringkan oleh Muhamad Syahir Bashah pada minit ke-16 dan 21 manakala dua gol skuad Lang Merah pula dihasilkan oleh penyerang import dari Ivory Coast Tchetche Kipre pada minit ke-3 serta Baddrol Bakhtiar pada minit ke-90. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Perak FC, Azman Noh, pemain import