'Speedy Tigers' perlu tingkat prestasi


  • Podium
  • Selasa, 19 Okt 2021

ARULSELVARAJ gembira skuad hoki lelaki negara mencapai matlamat pada Siri Jelajah UK 2021. — Agensi
PAKAR pukulan sudut penalti kebangsaan, Muhammad Razie Abd Rahim mengakui masih banyak perkara perlu diperbaiki oleh skuad hoki lelaki negara untuk dibawa ke kejohanan berikutnya.

Beliau bagaimanapun berkata, banyak perkara positif yang dilakukan oleh skuad Speedy Tigers sepanjang Siri Jelajah United Kingdom 2021.

"Pemain semua gembira dengan keadaan sekarang selain kami juga menetapkan standard iaitu kami perlu mencari kemenangan dalam setiap perlawanan,” ujarnya.

Speedy Tigers menamatkan siri jelajah berkenaan dengan mengikat Perancis 2-2 pada perlawanan persahabatan di Pusat Hoki Wales pada Isnin.

Kedua-dua pasukan turut mencatatkan keputusan seri 1-1 pada pertemuan Jumaat lalu.

Malaysia melakar masing-masing satu kemenangan dan kekalahan dengan empat keputusan seri dalam aksi persahabatan sementara dalam empat perlawanan ujian pula tamat dengan tiga kemenangan dan tewas sekali.

Pada pertembungan pada Isnin, Speedy Tigers bimbingan A. Arulselvaraj membuka jaringan menerusi gol padang Shello Silverius pada minit ke-27 sebelum Perancis bangkit mendahului 2-1 hasil dua gol pukulan sudut penalti pada minit ke-38 dan ke-43.

Faizal Saari muncul wira Malaysia apabila bijak menyudahkan pukulan sudut penalti pada minit ke-46 sekali gus menyelamatkan maruah skuad kebangsaan yang kini menduduki ranking ke-10 dunia berdepan Perancis di kedudukan ke-13.

"Siri Jelajah United Kingdom 2021 kami berlangsung dengan bagus kerana kami berjaya mencapai matlamat iaitu menamatkan siri ini dengan berada di kedudukan 10 pasukan teratas dunia dan kami bermain enam perlawanan bertemu pasukan kebangsaan antarabangsa,” kata Arulselvaraj dalam satu kenyataan dikeluarkan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (KHM). — Majoriti