PENGENDALI Chelsea, Thomas Tuchel berharap Edouard Mendy tidak terganggu apabila tidak dicalonkan untuk anugerah Ballon d'Or 2021.
Mendy tidak termasuk dalam senarai 30 calon pemain yang dinyatakan awal bulan ini, meskipun dia memenangi anugerah Penjaga Gol Terbaik Lelaki UEFA dan dicalonkan untuk Piala Yashin.
Lima pemain Chelsea - Cesar Azpilicueta, Jorginho, N'Golo Kante, Mason Mount dan Romelu Lukaku - dicalonkan untuk anugerah itu, tetapi nama Mendy yang 'tercicir' sememangnya mengejutkan ramai pihak.
Kemenangan 1-0 menentang Brentford dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di tempat lawan pada Sabtu membuktikan kemampuannya sebagai penjaga gol terbaik dalam dunia bola sepak ketika ini.
Mendy cemerlang mengemudi gawang The Blues dalam perlawanan itu, selain memastikan kelab itu mendapat tiga mata bagi memastikan mereka kembali menduduki tangga teratas liga.
Ketika ditanya sama ada Mendy patut tersenarai dalam Ballon d'Or 2021, Tuchel berkata: “Ya...tapi tidak. Saya gembira dan lebih penting dia beraksi seperti biasa daripada tercalon dalam sebarang anugerah.
“Saya harap ia tidak menganggunya kerana ia tidak terlalu mengganggu saya.
“Saya rasa kami boleh berada dalam senarai itu sebagai pasukan keseluruhan kerana kita memenangi trofi itu sebagai satu pasukan.
“Jika kita mempunyai lima atau enam nama, saya rasa kami boleh menang sebagai 21 orang dan semua orang memainkan peranannya. Begitulah bola sepak berfungsi.
“Hari ini kita sangat bergantung kepada Mendy. Semua orang sangat gembira untuknya sehingga dia dapat menolong kita. Jadi, semuanya baik,” katanya. — Agensi