MANCHESTER City dikatakan sedang berunding dengan ejen pemain Borussia Dortmund, Erling Haaland.
Man.City difahamkan telah mengadakan rundingan dengan Mino Raiola untuk menandatangani pemain asal Norway itu ketika jendela perpindahan pemain kembali dibuka pada Januari.
Kelab itu sebelum ini tidak berjaya mengisi slot penyerang yang ditinggalkan Sergio Aguero selepas gagal memancing penyerang Tottenham Hotspur, Harry Kane.
Bagaimanapun, Man.City kembali berminat dengan harga yang diletakkan untuk Haaland pada Jun yang bernilai GB£64 juta (RM362 juta) dan mencuba untuk menarik pemain itu awal tahun depan.
Selain Man.City, Real Madrid juga menunjukkan minat untuk menarik Haaland ke kelabnya selain dilaporkan mengintai pemain PSG, Kylian Mbappe yang bakal menamatkan kontraknya tidak lama lagi.
Chelsea juga pernah menyatakan minat untuk mendapatkan khidmat Haaland, namun akhirnya hanya berjaya menandatangani Romelu Lukaku dari Inter Milan.
Haaland mempamerkan prestasi menyerlah musim ini selepas menjaringkan 16 gol dalam 11 perlawanan untuk kelab dan pasukan negaranya.
Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer yang pernah melatih Haaland semasa di Molde turut memuji pemain itu secara terbuka dan dikatakan turut berminat untuk mendapatkan khidmat pemain itu. — Agensi