BERBEZA dengan pemain lain, penyerang PJ City, Darren Lok membawa dua misi berbeza dalam penampilan di Piala Malaysia kali ini.
Selain usaha membantu pasukan mara lebih jauh, bekas penyerang kebangsaan itu mahu menjadikan Piala Malaysia sebagai platform kebangkitan semula kariernya selepas menghabiskan masa di bilik pemulihan sepanjang Liga Super.
Jaringan sulung yang dicipta ketika menentang Sabah pada 27 September lalu menjadi permulaan sempurna buat dirinya yang hanya baru kembali beraksi dalam dua aksi terakhir Liga Super.
“Memang susah nak terima apabila saya cedera dalam tempoh saya sedang beraksi dengan baik pada awal musim. Rasa gembira apabila dapat kembali dan saya bersyukur kembali pulih sepenuhnya untuk bantu pasukan di Piala Malaysia.
“Tetapi sekarang saya nak fokus untuk mengakhiri musim dengan lebih cemerlang dan ingin bantu pasukan sebaik mungkin.
“Saya puas apabila dapat menjaringkan gol tempoh hari sebab sebagai penyerang, kita akan selalu dinilai daripada jaringan yang dibuat,” katanya.
Pemain berusia 30 tahun itu bermula cemerlang di awal musim namun terpaksa berehat lama sejak April lalu ekoran kecederaan di bahagian fibula.
Dengan baki empat lagi perlawanan di peringkat Kumpulan D, Lok merasakan persaingan lebih sengit untuk memburu slot ke suku akhir.
Hujung bulan ini, skuad kendalian P. Maniam yang menghuni tangga ketiga Kumpulan D dijadualkan menentang wakil Liga Premier, Kelantan.
“Lawan Kelantan nanti pun bukan mudah dan kita tidak pandang rendah sebab mereka juga merupakan pasukan yang kuat walaupun mereka pasukan dari Liga Premier,” katanya. — Majoriti