Sarawak United lunas 'hutang' pemain import


  • Podium
  • Rabu, 20 Okt 2021

POJA tuntut agar semua pemain memahami situasi pandemik Covid-19 menjejaskan kewangan pasukan. — Agensi
PRESIDEN Sarawak United, Datuk Posa Majais mengharapkan para pemain pasukan itu dapat memahami situasi semasa terutamanya sewaktu tempoh pandemik Covid-19 yang memberi impak kepada kewangan semua pasukan Liga Malaysia (Liga M).

Menurutnya, sepanjang tempoh Covid-19, semua pasukan sukar menjana kewangan daripada jualan tiket kepada para penonton.

"Tetapi kami sentiasa cuba sebaik mungkin untuk menyelesaikan tunggakan gaji pemain," katanya.

Sarawak United berdepan masalah pembayaran gaji terhadap dua pemain importnya, sehingga hampir diheret ke Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) serta bakal kehilangan khidmat mereka.

Bagaimanapun, kelab berkenaan berjaya melunaskan tunggakan sebulan gaji kepada pemain import mereka dan kedua-duanya dijangka terus kekal bersama pasukan itu sehingga penghujung musim.

Tambah Posa, pihaknya turut menjelaskan tunggakan hampir sebahagian besar gaji pemain pada minggu ini dan ada yang bakal diselesaikan minggu hadapan.

"Kelmarin saya sudah selesaikan enam cek. Apa yang pasti kita akan cuba selesaikan tunggakan itu sebelum bermulanya perlawanan Piala Malaysia nanti.

"Gaji pemain import tinggal sebulan setengah lagi. Bagaimana kes ini akan dibawa ke FIFA? Kita juga berikan wang pendahuluan kepada pemain.

"Tunggakan baru dua bulan setengah tetapi 'riuh sekampung' sedangkan ada pasukan lain yang tertunggak lebih lama. Pemain yang lama dengan saya akan faham situasi seperti ini.

"Kenapa dengki sangat dengan Sarawak United? Kalau mahu jatuhkan Sarawak United dengan cara kotor, buruk padahnya nanti," jelasnya. — Majoriti