Perak FC harung Piala Malaysia tanpa empat import


  • Podium
  • Selasa, 19 Okt 2021

SERGIO Aguero akan kekal membawa cabaran Perak dalam saingan Piala Malaysia musim ini. — Perak FC

SELEPAS mengambil kira beberapa aspek, pengurusan Perak FC bertindak drastik menamatkan kontrak empat importnya musim ini.

Kesemua pemain itu adalah Samir Ahmed Ayass dari Lubnan, Mountala Zoubairou Garba Daniel (Indonesia-Cameroon), Ghislain Guessan (Ivory Coast) dan Nana Poku (Ghana).

Samir Ayass sudah pun sah meninggalkan pasukan sejak akhir September lalu manakala baki tiga lagi akan meninggalkan pasukan minggu ini.

“Perak FC ingin merakamkan penghargaan kepada empat pemain importyang sah meninggalkan pasukan selepas ditamatkan kontrak hasil persetujuan bersama kedua-dua pihak, pemain mahu pun kelab.

“Perak FC ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada para pemain berkenaan yang bersama pasukan biarpun kelab terpaksa berdepan dengan pelbagai konflik sebelum ini.

“Penamatan kontrak keempat-empat pemain ini juga dimuktamadkan selepas pihak pengurusan berbincang dengan barisan kejurulatihan dan mengambil kira pelbagai aspek yang perlu diteliti sebelum keputusan diambil,” menurut kenyataan kelab.

Sebelum ini, skuad The Bos Gaurus dihimpit perlbagai masalah termasuk isu tunggakan gaji hingga beberapa pemain utamanya ‘angkat kaki’ berhijrah ke pasukan lain.

Dengan berita terbaharu ini, Perak akan meneruskan saingan Piala Malaysia dengan baki import sedia ada.

Kesemua import itu adalah Jad Ahmad Noureddine (Lubnan), Charles William Hew Machell (England) dan Sergio Aguero (Argentina). — Majoriti

perak, pemain import, piala malaysia