PENGURUS Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer tidak mengambil pusing kritikan bekas pemain Liverpool, Jamie Carragher tentang taktikal yang diterapkan selain menggesa kelab itu mencari pengurus baharu.
Menurut Solskjaer, beliau tidak terpengaruh dengan kritikan berkenaan dan menyifatkan komen Carragher itu sebagai perang psikologi menjelang pertemuan Man United dan Liverpool pada Ahad.
"Komennya tidak mempengaruhi saya tetapi jika anda melihat beberapa komennya, kami akan berdepan Liverpool pada Ahad. Carragher sering melihat hal-hal remeh seperti ini.
"Saya memiliki nilai tersendiri, cara saya melatih pasukan, saya percaya pada diri sendiri, selagi kelab mempercayai saya.
"Saya yakin pendapat Carragher tidak mengubah apa-apa," ujarnya.
Masa depan Solskjaer menjadi tanda tanya apabila Man United tewas 2-4 kepada Leicester City ketika saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) minggu lalu.
Kekalahan itu menyebabkan Man United turun ke tangga keenam liga dengan 14 mata.
Man United dijadualkan bertemu kelab Itali, Atalanta pada saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada Khamis. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram