MANCHESTER United mahu penyerangnya, Marcus Rashford membina otot bagi mengelakkan risiko kecederaan di masa hadapan.
Rashford akan kembali dalam skuad The Red Devils buat pertama kalinya pada musim ini dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Leicester City pada Sabtu, selepas berehat panjang susulan pembedahan bahu Ogos lalu.
Pemain berusia 23 tahun itu menambah 4 kilogram (kg) jisim otot bahagian di bawah badannya ketika proses pemulihan, tetapi akibat pergerakan yang terhad di bahagian bahu kiri, Rashford jisim otot di bahagian atas badannya telah menurun.
United percaya jika pemain antarabangsa England itu berjaya meningkatkan jisim ototnya, dia akan memiliki peluang yang lebih baik untuk menghadapi tahap fizikal EPL.
Rashford sebelum ini berhadapan dengan masalah tulang belakang yang menyebabkannya tersisih selama lima bulan pada tahun lalu.
Dia membuat keputusan untuk menjalani pembedahan pada musim panas lalu, setelah hampir tiga tahun bermain dengan kesakitan.
Rashford kini dilihat berada dalam keadaan baik, menjaringkan dua gol dalam perlawanan persahabatan tertutup ketika menentang Blackburn minggu lalu.
Buat masa ini, dia masih belum diturunkan dalam perlawanan kompetitif sejak Euro lalu, dan kehadirannya akan memberi lebih banyak pilihan buat pengendali United, Ole Gunnar Solskjaer. — Agensi