Man. United kalah lagi, Solskjaer mula tak senang duduk


  • Podium
  • Ahad, 17 Okt 2021

SOLSKJAER sugul selepas Manchester United ditewaskan Leicester City 2-4 dalam perlawanan EPL di King Power Stadium, Leicester pada Sabtu. — Agensi

PENGURUS Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer mengakui kini berdepan tekanan tinggi selepas pasukan itu menderita kekalahan 2-4 ketika bertemu Leicester City dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di King Power Stadium, Leicester, pada Sabtu.

Kekalahan The Red Devils itu bukan sahaja menyebabkan mereka terperosok jatuh ke tangga kelima carta bahkan turut memperlihatkan bagaimana anak-anak buah Solkjaer berhenti memperbaiki diri dan dilihat tidak belajar daripada kesilapan.

Namun, Solskjaer masih memiliki alasan tersendiri atas kekalahan tersebut dengan mendakwa tempoh rehat antarabangsa mempengaruhi penampilan anak buahnya.

“Pola permainan juga tidak berjalan dengan baik,” katanya.

Kekalahan itu jelas ancaman besar bagi masa depan Solskjaer di Old Trafford yang sebelumnya menghadapi kritikan setelah United kalah di tangan Aston Villa dan diikat dengan Everton dalam pertandingan terakhir mereka sebelum aksi tugasan antarabangsa sebelum ini.

Begitupun, Solskjaer mungkin tidak menghadapi risiko pemecatan dalam waktu terdekat berupaya menciptakan kemenangan dalam aksi menentang Liverpool, Tottenham, Manchester City dan Atalanta dalam aksi Liga Juara-Juara.

Apa yang penting, katanya, para pemain diminta bangkit daripada kekalahan untuk perlawanan seterusnya.

"Setiap kali kita mengalami kekalahan, tentu saja tekanannya meningkat, tetapi kami terbiasa hidup dengannya.

"Kami adalah Manchester United. Kami harus bangkit kembali. Sesuatu perlu diubah. Apakah kami perlu mendapatkan kekuatan ekstra? Apa yang kami perlukan? Itulah yang kami perlu analisis," jelasnya. — Agensi