Perancis julang trofi Liga Negara-Negara


  • Podium
  • Isnin, 11 Okt 2021

SKUAD Perancis meraikan kejayaan di Liga Negara-Negara selepas menundukkan Sepanyol 2-1 dalam aksi final di San Siro, awal pagi tadi. — Agensi

JUARA dunia, Perancis dinobat selaku juara Liga Negara-Negara selepas menewaskan Sepanyol 2-1 dalam aksi akhir di San Siro, awal pagi Isnin.

Kylian Mbappe muncul wira apabila meledak gol kemenangan selepas Karim Benzema berjaya menyamakan kedudukan meskipun Sepanyol terlebih dulu membuka jaringan menerusi Mikel Oyarzabal.

Pada aksi di babak pertama, anak buah Didier Deschamps seakan bergelut ketika Sepanyol lebih mendominasi perlawanan.

Namun Perancis mampu bangkit dengan Paul Pogba jelas cemerlang di bahagian tengah, Mbappe memanfaatkan kepantasan dan Benzema berterusan memberikan ancaman.

“Kami menunjukkan karakter kami ketika menentang pasukan yang kuat. Kami tidak berputus asa.

“Ini menunjukkan apa pasukan yang hebat boleh lakukan, jangan panik, bersabar dan menunggu masa yang tepat,” kata Benzema.

Skuad muda Sepanyol kendalian Luis Enrique yang menewaskan juara Eropah, Itali di separuh akhir terpaksa akur setelah pasukan itu turun tanpa penyerang sejati.

“Ia kekalahan yang cukup sukar,” kata pertahanan Sepanyol, Aymeric Laporte.

“Walaupun dengan pemain muda, kami perlu buktikan untuk jadi pasukan yang hebat. Kami tunjukkan permainan bola sepak yang lebih baik namun apa yang dikira adalah keputusan sama ada menang ataupun tewas.” — Reuters

perancis, liga negara-negara, sepanyol