Kounde mahu ke Old Trafford


  • Podium
  • Isnin, 18 Okt 2021

KOUNDE dikaitkan dengan beberapa kelab gergasi Eropah pada jendela perpindahan musim panas lalu. — Reuters

BEK tengah Sevilla, Jules Kounde dilaporkan mengarahkan ejennya untuk mengadakan perbincangan dengan gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United.

Pemain Perancis itu pertama kali dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford pada awal tahun ini, tetapi United akhirnya memilih rakan senegaranya, Raphael Varane pada jendela perpindahan lalu.

Nama Kounde kini kembali dikaitkan dengan The Red Devils sejak beberapa minggu kebelakangan ini, dengan banyak pihak percaya United memerlukan pilihan lain bagi mengisi posisi pertahanannya.

Buat masa ini, gandingan Varane dan Harry Maguire menjadi pilihan pertama pengedali, Ole Gunnar Solksjaer apabila kedua-duanya cergas, dengan Victor Lindelof di belakang mereka.

Tetapi, terdapat keraguan terhadap dua lagi pertahanan tengah iaitu Eric Bailly dan Phil Jones, yang sering kali bergelut dengan masalah kecederaan dalam beberapa tahun terakhir.

Justeru, Kounde dilaporkan sebagai salah seorang sasaran United, sama ada pada jendela perpindahan Januari atau musim panas akan datang.

Pemain berusia 22 tahun itu juga difahamkan tertarik untuk menyertai juara EPL 20 kali itu, dan menurut laporan media, dia memberitahu ejennya untuk memulakan rundingan dengan United.

Berita itu pastinya akan menjadi tamparan kepada Real Madrid dan Chelsea, yang turut berminat dengan khidmat Kounde.

The Blues pernah berusaha menandatangani pemain pertahanan itu pada musim panas lalu, tetapi menarik minat mereka selepas tidak bersetuju dengan harga yang diletakkan Sevilla sebanyak £68 juta (RM389.4 juta). — Agensi