Chelsea kurang keyakinan diri - Tuchel


  • Podium
  • Ahad, 26 Sep 2021

PEMAIN City, Jack Grealish (kanan) cuba merampas bola dari kaki bek tengah Chelsea, Andreas Christensen dalam saingan EPL pada Sabtu. — AP

PENGURUS Chelsea, Thomas Tuchel mengakui para pemainnya kurang keyakinan diri ketika tewas kepada Manchester City dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stamford Bridge, London pada Sabtu.

Kekalahan itu turut menamatkan rekod tanpa kalah Chelsea pada musim ini.

"Kami kurang keyakinan. Setiap kesilapan yang kami lakukan, kami hilang lebih banyak keyakinan.

"Kami bermain dengan mentaliti yang kami bakal kehilangan sesuatu. Ia bukan aksi terbaik untuk mendapat keputusan diinginkan," kata Tuchel.

Pada perlawanan tersebut, penyerang City, Gabriel Jesus menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-53.

Kekebalan benteng pertahanan City juga menyebabkan barisan serangan Chelsea gagal melakukan sebarang percubaan tepat ke arah pintu gol sepanjang permainan.

Dalam pada itu, pengendali City, Pep Guardiola berjaya menebus kekecewaannya apabila pasukannya itu kalah tiga kali berturut-turut di tangan Chelsea musim lalu termasuk perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

"Kami lebih berani, memiliki personaliti, ia tidak pernah hilang sejak hari pertama kerana ia berkaitan cara kami bermain, walaupun ketika tewas.

"Kami melakukannya untuk kepentingan kelab. Melakukannya di sini (Stamford Bridge), di laman juara UCL dengan cara kami bermain," ujar Guardiola. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram