WALAUPUN sudah mengalami dua kekalahan berturut-turut, Glen Johnson yakin yang Chelsea menjadi pasukan pilihan untuk dinobatkan sebagai juara Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Rentak tanpa kalah Chelsea pada musim ini berakhir selepas tewas 1-0 kepada Manchester City minggu lalu, selain turut tunduk kepada Juventus dengan keputusan sama di pentas Liga Juara-Juara.
Johnson yang pernah mewakili Chelsea dan Liverpool ketika eranya sebagai pemain yakin anak buah Thomas Tuchel lebih ampuh selepas ini.
“Sekiranya saya bercakap jujur, saya fikir Chelsea berkemungkinan pasukan pilihan saya untuk menjuarai liga.
“Saya fikir mereka memiliki lebih banyak peluang berbanding Liverpool. Chelsea lebih dominan dalam perlawanan.
“Mereka kalah kepada Man.City tetapi pasukan lain juga boleh kalah kepada Man.City dan mereka masih bermain baik.
“Chelsea boleh menjadi ancaman kepada pasukan lain dan mereka memiliki skuad yang besar. Mereka menandatangani pemain hebat dan saya fikir, sebagai satu pasukan mereka menuju ke arah yang betul.”
Namun, kenyataan Johnson seakan-akan menunggu masa untuk memakan diri memandangkan Liverpool yang masih belum tewas kini sedang mengetuai carta EPL dengan 14 mata, satu mata di depan Chelsea. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram