
PEMAIN pertahanan Manchester City, Aymeric Laporte yakin rakan sepasukannya, Phil Foden memiliki potensi untuk menjadi salah seorang pemain bola sepak terhebat sepanjang zaman
Jelas Laporte, Foden perlu bekerja lebih keras lagi untuk membuktikan dia mampu berdiri setaraf dengan pemain lagenda lain.
Foden, 21, mengukuhkan statusnya sebagai salah seorang pemain terbaik di Eropah selepas mempamerkan prestasi memberangsangkan ketika kempen 2020/2021 apabila menyumbat 16 gol dan 10 bantuan hantaran dalam 50 penampilan di semua kejohanan.
Pemenang anugerah Pemain Muda Terbaik Tahunan Persatuan Bola Sepak England (PFA) itu menjadi salah satu watak penting dalam skuad bimbingan pengurus, Pep Guardiola.
Foden membuat 80 penampilan bersama City setakat ini dan dikhabarkan bakal menandatangani kontrak jangka panjang bersama kelab tersebut.
Prestasi Foden pada musim lalu di bahagian kiri serangan City menyebabkan Raheem Sterling terpaksa memanaskan bangku simpanan.
Pemain kelahiran Stockport itu terus menjadi watak penting dalam perlawanan liga menentang Liverpool sebelum rehat aksi antarabangsa baru-baru ini apabila meledak satu gol dan satu bantuan hantaran dalam pertemuan berkenaan. — Agensi