Sterling dalam radar Barcelona


  • Podium
  • Rabu, 06 Okt 2021

RAHEEM Sterling mendapat perhatian Barcelona yang berhasrat untuk mendapatkan khidmatnya secara pinjaman. — Agensi.

DI sebalik kesukarannya untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama Manchester City, Barcelona muncul sebagai penyelamat apabila menyatakan minat untuk mendapatkan khidmat Raheem Sterling secara pinjaman, Januari ini.

Sepanjang tujuh perlawanan, pemain antarabangsa England ini baru dua kali memulakan aksi dalam kesebelasan utama The Citizens.

Sterling juga difahamkan berada dalam senarai pertukaran buat Tottenham Hotspur ketika Manchester City berusaha mendapatkan Harry Kane di permulaan musim.

Riyad Mahrez, Phil Foden dan pemain baharu, Jack Grealish lebih mendapat kepercayaan Pep Guardiola musim ini sekali gus menguatkan spekulasi Sterling bakal keluar dari Etihad.

Walaupun berdepan dengan krisis kewangan, Barcelona sudah pun makin membebaskan diri dengan beban sedemikian apabila melepaskan Lionel Messi ke PSG secara percuma selain membenarkan Antoine Griezmann ke Atletico Madrid secara pinjaman.

Ini bermakna, soal gaji bukan lagi menjadi isu sekiranya Sterling berminat untuk berhijrah mendapatkan cabaran baharu di Barcelona.

Sterling kini memiliki kontrak kurang dua tahun dan tidak ada sebarang perancangan untuk membuat lanjutan kontrak.

Bekas pemain Liverpool itu sudah pun membuat 297 penampilan bersama Man. City, meledak 72 gol dan 49 bantuan gol.

Pengurus City, Pep Guardiola memberikan bayangan yang Sterling masih boleh memainkan peranan di Etihad.

“Dia boleh bermain (di posisi sayap kanan) tetapi di awal musim, Gabby Jesus beraksi dengan cukup baik.

“Sebagai penyerang terutamanya pemain jenis satu lawan satu seperti Jack Grealish dan Riyad Mahrez, kami memerlukan seseorang yang boleh berlari di belakang dan apa yang kita miliki sekarang, Raheem adalah yang terbaik.

“Ia bergantung kepada pasukan mana yang kami hadapi. Bagaimana kami menyerang dan pemain mana yang kami perlukan,” kata Guardiola. – Agensi