Seri dengan Liverpool, Guardiola salahkan pengadil


  • Podium
  • Isnin, 04 Okt 2021

GUARDIOLA (kiri) bertekak dengan pegawai keempat, Mike Dean kerana tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil perlawanan. — Agensi

PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola menegaskan bahawa pemain Liverpool, James Milner seharusnya dibuang padang dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield awal pagi tadi, yang menyaksikan pasukannya terikat 2-2 dengan skuad The Reds.

Selepas dilayangkan kad kuning dalam babak pertama, Milner yang bermain di posisi bek kanan - mengisi kekosongan ditinggalkan Trent Alexander Arnold - terselamat daripada layangan kad kuning kedua selepas dengan jelas dilihat mengasari Bernardo Silva.

Bekas pemain City itu kemudian terlibat dalam menghasilkan gol kedua Liverpool sebelum diganti dengan Joe Gomez dua minit selepas itu.

Guardiola mempamerkan kemarahannya di tepi padang selepas pengadil, Paul Tierney enggan melayangkan kad kuning kedua kepada Milner.

"Ia sepatutnya kad kuning. Tetapi ini adalah Anfield, sama seperti Old Trafford. Dalam situasi ini, jika ia dilakukan pemain City, pasti akan dibuang padang, 100 peratus.

"Ia amat jelas. Adakalanya terdapat interpretasi tetapi ia sepatutnya kad kuning kedua," kata Guardiola yang dilayangkan kad kuning kerana bertekak dengan pegawai keempat, Mike Dean di luar padang.

Dalam aksi yang menyaksikan skuad The Citizens lebih banyak menguasai perlawanan itu, Liverpool terlebih dahulu mendahului perlawanan menerusi jaringan Sadio Mane pada minit ke-59 sebelum disamakan oleh Phil Foden sepuluh minit kemudian.

Mohamed Salah kemudiannya meletakkan tuan rumah sekali lagi di hadapan pada minit ke-76 sebelum Kevin De Bruyne menyamakan kedudukan pada minit ke-81 bagi memastikan City pulang dengan satu mata. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram