Evra muak Messi menang Ballon d'Or


  • Podium
  • Sabtu, 16 Okt 2021

KANTE (kiri) dan Jorginho menjadi tulang belakang kemenangan Chelsea sewaktu memenangi Liga Juara-Juara Eropah musim lalu. — AFP
LEGENDA bola sepak Perancis, Patrice Evra mengakui dia muak melihat pemain Argentina, Lionel Messi memenangi anugerah Ballon d'Or.

Ujar Evra, Messi hanya menyerlah pada tahun ini bersama skuad kebangsaan Argentina sahaja apabila membawa pasukan berkenaan memenangi kejuaraan Copa America.

Namun menurut Evra, pemain berkenaan hanya mampu membawa Barcelona memenangi piala Copa del Rey sahaja dan gagal menjuarai La Liga Sepanyol dan Liga Juara-Juara Eropah pada musim lalu.

Sebaliknya, Evra merasakan anugerah tersebut wajar diberikan kepada dua pemain tengah Chelsea iaitu N'Golo Kante atau Jorginho kerana kedua-duanya memberikan prestasi terbaik di peringkat kelab dan antarabangsa.

"Saya sudah muak mereka memberikan anugerah itu kepada Messi.

"Mereka kata dia (Messi) memenangi Copa America tahun ini. Tapi cuba beritahu apa yang dia lakukan sepanjang tahun bersama Barcelona?" ujar Evra.

Jorginho dan Kante merupakan tulang belakang Chelsea ketika kelab itu memenangi Liga Juara-Juara Eropah pada musim lalu.

Malahan Jorginho juga membantu Itali menjuarai kejohanan Euro 2020. — Agensi