'Jangan politikkan Ballon d'Or'


  • Podium
  • Rabu, 06 Okt 2021

LEWANDOWSKI bakal bersaing dengan Messi dan Jorginho untuk perebutan Ballon d'Or. — Reuters
PENYERANG berbisa Bayern Munich, Robert Lewandowski berharap tidak wujud unsur kepentingan politik dalam pemilihan pemenang Ballon d'Or tahun ini.

Ujarnya, dia mahu proses pemilihan pemenang dilakukan secara adil dan berdasarkan prestasi.

"Saya memahami bahawa setiap permainan yang baik dalam pasukan kebangsaan atau kelab akan meningkatkan peluang saya dalam undian (Ballon d'Or). Saya memenangi banyak anugerah dalam tempoh dua musim terakhir.

"Itu sebabnya saya merasakan sudah membuktikan (kepada semua) bahawa saya layak memenangi Ballon d'Or. Sudah tentu ia merupakan penghormatan terbesar dan saya bangga menjadi salah seorang calon pemenang," katanya yang baru sahaja memenangi Kasut Emas Eropah pada September.

Pencalonan Ballon d'Or akan diumumkan pada Jumaat dan pemenang akan diumumkan di Paris, Perancis pada 29 November kelak.

Lewandowki dijangka memenangi anugerah berkenaan namun sebelum itu bakal bersaing dengan pemain-pemain terkemuka seperti Lionel Messi serta Jorginho.

Pencalonan Lewandowski sebagai calon Ballon d'Or diiringi dengan portfolio pelbagai trofi kejuaraan di peringkat kelab dalam beberapa musim terakhir.

Tahun lalu, Lewandowski diramalkan meraih Ballon d'Or tetapi anugerah itu terpaksa dibatalkan sementara berikutan pandemik Covid-19. — Agensi

Lewandowski, Ballon d'Or, Messi, Jorginho