NEWCASTLE United merancang untuk mendapatkan tandatangan pemain tengah Perancis, Nabil Fekir dari Real Betis pada Januari depan.
Pemain berusia 28 tahun itu hampir menyertai Liverpool pada 2018 ketika dia masih di Lyon, tetapi ia terbatal berikutan masalah dihadapi dengan ejennya.
Fekir kini berpotensi berpindah ke Liga Perdana Inggeris selama tiga tahun, dengan laporan Foot Mercato mendakwa bahawa perbincangan awal telah dibuat antara Newcastle dan ejen pemain.
Media Perancis itu juga melaporkan, Fekir bakal ditawarkan kontrak baharu oleh majikannya dari Sepanyol berikutan permulaannya yang memberangsangkan untuk musim baharu.
Bekas pemain Lyon itu baru-baru ini mendedahkan tentang kontraknya, prestasi semasa dan sebab sebenar gagal menyertai Liverpool.
"Saya rasa ini adalah versi terbaik saya. Saya selalu berusaha membantu pasukan dan menjaringkan gol. Buat masa ini, semuanya berjalan lancar untuk saya.
"Saya sangat baik di sini, saya sangat gembira kerana saya belajar setiap hari. Saya berharap dapat terus menjadi seperti itu.
"Saya lihat ramai orang menyayangi saya dan itu yang membuat saya gembira malah saya mahu memberikannya kembali ke lapangan," katanya.
Pemenang Piala Dunia itu telah menjaringkan dua gol dan memberi dua lagi bantuan menerusi 10 penampilan pada semua perlawanan musim ini, sekali gus membantu Betis menduduki tempat ketujuh carta La Liga setelah lapan perlawanan. — Agensi