Newcastle United mampu jadi sehebat Manchester City, PSG


  • Podium
  • Jumaat, 08 Okt 2021

BERITA pengambilalihan Newcastle United mendapat sambutan positif daripada peminat.

PEMILIK baharu Newcastle United yang berjaya melengkapkan pengambilalihan bernilai £305 juta (RM1.73 bilion) mula mensasarkan untuk menjadikan kelab itu sebagai pasukan terkuat seperti Manchester City dan Paris Saint-Germain.

Sambil disokong oleh Arab Saudi menerusi Public Investment Fund (PIF), pemilik bersama, Amanda Staveley tampil menjelaskan cita-cita konsortium itu untuk menjadikan kelab berkenaan lebih baik.

Kelab yang digelar sebagai The Magpies kini muncul pasukan terkaya di dunia sambil peminatnya mula meraikan pemilikan baharu di St James Park.

"Sudah tentu daripada segi piala, kami miliki cita-cita sama seperti Manchester City dan PSG namun ia akan mengambil masa.

"Adakah kami mahu memenangi Liga Perdana Inggeris dalam tempoh lima ke 10 tahun? Ya, pengambilalihan ini cukup tranformatif.

"Kami mahu lihat piala tetapi trofi memerlukan pelaburan, masa, kesabaran dan kerja berpasukan," kata Staveley.

Kini, pengendali pasukan, Steve Bruce hampir pasti kehilangan jawatannya dan difahamkan pemilik baharu sudah pun bersedia untuk membuat bayaran £8 juta (RM45.5 juta) untuk menyingkirkannya.

Difahamkan kelab itu lebih gemar untuk melantik individu yang berpengalaman di Liga Perdana Inggeris dan pengurus Leicester City, Brendan Rodgers menjadi salah seorang daripada calon.

Pengurus Ranger, Steven Gerrard juga dikatakan mempunyai tarikan untuk melatih pasukan dan sumber di Scotland yakin musim ini adalah tahun terakhirnya bersama kelab itu. — Agensi