Siapa pemain berkelas bintang bakal dipikat Newcastle United?


  • Podium
  • Ahad, 10 Okt 2021

SEORANG wanita memandang mural bekas pemain Newcastle di Tyne, timur laut England baru-baru ini. — AFP
TEKA-TEKI tentang pemain mana yang akan 'diborong' oleh Newcastle United sudah 'bertebaran' di media sosial.

Status baharu kelab berkenaan sebagai kelab bola sepak paling kaya dunia tentunya membuatkan ramai teruja terutamanya para peminatnya.

Nilai pengambilalihan kira-kira 300 bilion pound (RM1.7 bilion) oleh Public Investment Fund (PIF) milik Putera Arab Saudi, Mohammed bin Salman sudah pasti menjadikan Newcastle sebagai kuasa besar dalam jendela perpindahan pemain.

Antara pemain yang dikhabarkan bakal 'dipikat' oleh Newcastle adalah:

1. Phillipe Coutinho

Prestasi Coutinho sejak berhijrah semula ke Bacelona pada 2018 nyata tidak memuaskan. Barcelona membeli Coutinho dengan nilai 102 juta pound (RM580.2 juta) tetapi sehingga kini gagal memberikan impak yang besar dalam skuad Blaugrana.

Coutinho pernah dipinjamkan kelab Jerman, Bayern Munich pada musim 2019/2020 dan berjaya menjaringkan lapan gol dalam 23 penampilan.

Sekembalinya ke Barcelona pada musim seterusnya, Coutinho mengalami kecederaan lutut pada Disember tahun lalu dan terlepas aksi sepanjang baki musim.

Namanya disebut-sebut untuk dijual oleh Barcelona selepas kelab berkenaan mahu mengurangkan kos kewangan mereka berikutan impak kesan pandemik Covid-19 yang melanda.

Coutinho AP

Coutinho. — AP


2. Kalidou Koulibaly


Dalam tujuh perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) setakat ini, Newcastle bolos 16 gol.

Nama Koulibaly dikaitkan ketika khabar pengambilalihan Newcastle sebelum ini dan berkemungkinan pemain berkenaan akhirnya bakal menjejakkan kakinya ke EPL.

Bek tengah Napoli itu menerima banyak perhatian daripada kelab-kelab ternama Eropah. Dengan nilai 48 juta euro (RM232 juta), tanda harga itu tentunya bukan satu masalah bagi Newcastle.

Koulibaly Reuters

Koulibaly. — Reuters


3. Aaron Ramsey

Sejak menyertai Juventus pada 2019, Ramsey tidak begitu menyerlah. Dalam 49 penampilan bersama kelab Itali itu, Ramsey hanya mencatatkan lima gol.

Meskipun dia memenangi trofi Seria A pada musim pertamanya, Ramsey hanya tampil 24 kali dalam perlawanan liga dan 22 kali pada musim lalu.

Juventus dilaporkan ingin menjual pemain berkenaan dengan nilai perpindahan yang rendah. Berharga hanya 14 juta euro (RM67.7 juta), pembelian Ramsey tentunya sangat berbaloi buat Newcastle.

Ramsey AFP

Ramsey. — AFP


4. Ousmane Dembele

Seorang pemain yang berbakat besar tetapi sering dilanda kecederaan sehingga merencatkan potensinya. Dembele setakat ini belum menunjukkan prestasi yang positif sejak berhijrah ke Barcelona dengan nilai perpindahan 107 juta euro (RM517.2 juta) pada 2017.

Kontraknya bersama Barcelona bakal tamat pada musim panas hadapan dan masih tidak menandatangani sebarang perjanjian baharu bersama La Blaugrana.

Beberapa kelab EPL termasuk Manchester United dilaporkan berminat untuk mendapatkan tandatangan pemain berkenaan.

Dembele AFP

Dembele. — AFP


5. Dean Henderson

Selepas sering dikatakan bakal menjadi penjaga gol utama Man. United musim ini, Henderson bagaimanapun tidak menepati jangkaan pada tahun ini.

Malahan David De Gea menunjukkan prestasi memberangsangkan bersama Man. United pada musim ini.

Walaupun Newcastle memiliki barisan penjaga gol seperti Freddie Woodman, Karl Darlow dan Martin Dubravka, namun kehadiran Henderson pastinya merupakan pelaburan jangka masa panjang yang berbaloi buat kelab terbabit.

Deano AFP

Henderson. — AFP