Newcastle mahu julang trofi EPL dalam tempoh 10 tahun


  • Podium
  • Sabtu, 09 Okt 2021

NEWCASTLE United hanya menunggu masa untuk memikat pemain berstatus bintang ke kelab terbabit. — AFP
NEWCASTLE United memasang impian untuk bergelar juara Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam tempoh 10 tahun.

Hasrat kelab itu dinyatakan oleh pengarah baharu Newcastle, Amanda Staveley.

Jelas Staveley, tiada cara segera untuk kelab berkenaan menjadi juara.

"Tentu sahaja kami mempunyai cita-cita seperti Manchester City dan Paris Saint Germain (PSG) dalam soal memenangi trofi tetapi proses itu memerlukan masa.

"Adakah kami ingin memenangi trofi EPL dalam tempoh lima hingga 10 tahun? Ya. Kami ingin melihat trofi di kelab ini tetapi semua itu memerlukan pelaburan, waktu, kesabaran dan kerja berpasukan," katanya.

Kelab England berkenaan diambil alih oleh Public Investment Fund (PIF) yang dimiliki oleh Putera Arab Saudi, Mohammed bin Salman dengan nilai kira-kira 300 juta pound (RM1.7 bilion) pada Khamis lalu.

Pengambilalihan itu menjadikan Newcastle United sebagai kelab paling kaya di dunia ketika ini.

Melalui sokongan dana yang besar itu, tidak dinafikan Newcastle United akan 'memborong' pemain berkelas dunia seperti yang dilakukan oleh City dan PSG dalam tempoh sedekad.

Khabar angin terbaharu mendakwa Newcastle United ingin membeli pemain Barcelona, Coutinho dan penyerang Manchester United, Anthony Martial. — Agensi

Newcastle United, Amanda Staveley, PIF, MBS, EPL