Ranjau menanti pengurus baharu Newcastle United


  • Podium
  • Isnin, 11 Okt 2021

MARK Hughes (kanan) pernah lalui situasi sama dan dijadikan batu loncatan kepada prestasi hebat dipamerkan Manchester City sekarang.

ANTONIO Conte, Roberto Mancini, Brendan Rodgers, Eddie Howe, Rafael Benitez, Graham Potter, Jose Mourinho, Roberto Martinez, Steven Gerrard dan Frank Lampard.

Itu antara nama pengurus yang dikaitkan untuk mengisi jawatan pengurus Newcastle United.

Dengan pemilikan baharu Amanda Staveley dan rakan-rakan dari Arab Saudi, kelab itu nyata memiliki kemampuan jika mahu menggajikan kesemua pengurus itu.

Tetapi sesiapa pun yang bakal menerima jawatan itu bagi menggantikan Steve Bruce pasti akan berdepan nasib buruk sekurang-kurangnya untuk tempoh dua atau tiga tahun.

Lihat saja ketika Manchester City mula dimiliki Sheik Mansour pada September 2008, segalanya akan beralih kepada kemenangan semata-mata tanpa ada sebarang tumpuan lain.

Itu cerita Manchester City dan kini seakan mula beralih ke Newcastle iaitu berdepan masalah dengan definisi sebenar bola sepak.

Pengurus Manchester City ketika itu, Mark Hughes hanya mengharungi tempoh 16 bulan sebelum dilepaskan dan sekarang ia dapat dilihat yang pengurus itu sudah pun dijadikan batu loncatan buat kelab.

Memang ada kelemahan sepanjang pentadbirannya namun Hughes menyerahkan pasukan kepada Roberto Mancini dengan kehadiran Vincent Kompany, Pablo Zabaleta, Gareth Barry, Carlos Tevez dan Nigel de Jong.

Jadi persoalan kini, pengurus manakah yang mampu dipujuk oleh Newcastle untuk dijadikan batu loncatan?

Pastinya ‘umpan’ utama buat masa sekarang adalah dengan menawarkan gaji yang tinggi, bandar yang hebat, miliki ramai penyokong dan menyediakan sejumlah wang untuk membeli pemain. — Agensi