DARIPADA segi keputusan, dua perlawanan persahabatan di Jordan mungkin tidak memihak kepada Harimau Malaya namun ada nota positif yang mampu dibawa pulang ke tanah air.
Dengan apa yang dipersembahkan tanpa beberapa pemain utama, prestasi pasukan yang boleh dilabel sebagai ‘barisan baharu’ cukup untuk memberi bayangan kepada pengendali pasukan, Tan Cheng Hoe.
Paling mengujakan pastinya apabila melihat kelibat pemain muda seperti Luqman Hakim Shamsudin, Faisal Halim dan Mukhairi Ajmal.
Tiga pemain ini antara ‘ubi muda’ yang berjaya membuktikan keberanian dan layak untuk berada dalam pasukan pada aksi Piala AFF Suzuki 2020 dan pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023.
“Sekurang-kurangnya pemain baharu dapat hadapi dan merasai sendiri aksi peringkat antarabangsa. Saya juga harap lebih ramai pemain muda berbakat diserapkan dalam skuad kebangsaan.
“Dalam skuad kali ini, kami barisan kejurulatihan akan pertimbangkan lagi kerana kita perlu lihat daripada aspek lain juga.
“Ada dua atau tiga pemain yang kami rasakan boleh digilap untuk masa depan,” katanya Cheng Hoe.
Pada aksi persahabatan pertama, Harimau Malaya tewas 4-0 kepada Jordan dan 5-1 kepada Uzbekistan.
Selain Luqman, Faisal dan Mukhairi, beberapa pemain lain yang miliki potensi dan dikatakan ‘lulus ujian’ adalah Quentin Cheng, Hakimi Abdullah, Al-Hafiz Harun, Fayadh Zulkifli dan Arif Fadzilah.
Malah beberapa pemain senior yang kembali berada dalam pasukan seperti Baddrol Bakhtiar, Akram Mahinan, Rizal Ghazali dan Kenny Pallraj juga menghadirkan lebih banyak pilihan kepada Cheng Hoe untuk kembali mendapatkan skuad terbaik pada panggilan selepas ini. — Majoriti