PEMIAN Manchester United, Scott McTominay, membawa tuah kepada pasukan Scotland selepas dia mencetak gol ketiga negara itu pada aksi kelayakan Piala Dunia Kumpulan F menentang Israel di Hampden Park, Scotand awal pagi Ahad.
McTominay berjaya membolos gawang Israel selepas menyudahkan sepakan sudut John McGinn pada minit keempat masa tambahan perlawanan.
Dalam perlawanan tersebut Israel dua kali mendahului tuan rumah menerusi Eran Zahavi dan Munas Dabbur sebelum McGinn serta Lyndon Dykes menyamakan kedudukan sebelum mendahului dengan jaringan dari McTominay.
Pemain berusia 24 tahun itu mengakui bahawa Israel merupakan lawan yang sukar namun dia dan pasukan tidak berputus asa untuk memberikan yang terbaik dalam perlawanan.
"Pada babak kedua kami kembali menguasai permainan dan mencipta beberapa peluang menjaringkan gol.
“Persembahan kami pada babak pertama kurang memberi impak, sebaliknya lawan lebih agresif, kompak sebagai satu pasukan dalam 45 minit tersebut,” katanya.
Kemenangan itu menyaksikan Scotland berpeluang beraksi di temasya sukan bola sepak berprestij dunia tersebut sejak kali terakhir melakukannya pada 1998.
Scotland kini menduduki tangga kedua kumpulan dengan 14 mata, tiga mata mengatasi Israel di kedudukan ketiga manakala Denmark kekal di tangga teratas dengan 21 mata. — Agensi
