Lloris enggan Perancis masuk 'jerat' Sepanyol


  • Podium
  • Ahad, 10 Okt 2021

LLORIS menjalani latihan sebelum pertemuan Perancis menentang Sepanyol di San Siro, Itali pada Isnin. — AFP
PENJAGA gol Perancis, Hugo Lloris mengingatkan rakan sepasukannya agar tidak membazir tenaga menentang Sepanyol pada aksi peringkat akhir UEFA Nations League pada Isnin.

Menurut Lloris, dia memahami corak permainan yang ditonjolkan oleh Sepanyol.

"Mereka suka mendominasi penguasaan bola, memaksa pihak lawan terus berlari supaya mereka boleh merebut bola.

"Kami akan menggunakan seluruh tenaga kami melawan sebuah pasukan yang memiliki gaya permainan mereka tersendiri berdasarkan penguasaan bola dan pergerakan.

"Ini bergantung pada diri kami sendiri agar tidak membuang terlalu banyak tenaga dengan memberi tekanan yang tidak teratur kepada mereka.

"Kami harus bekerjasama dan bergerak pada waktu yang sama," kata Lloris.

Sepanyol merupakan pasukan yang mencatatkan statistik penguasaan bola yang paling tinggi.

Pada UEFA Nations League, Sepanyol merekodkan 65.4 peratus penguasaan bola manakala Perancis hanya mencatatkan 49.6 peratus sahaja.

Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu adalah ketika peringkat kelayakan Piala Dunia 2014 yang dimenangi oleh Sepanyol dengan jaringan 1-0. — Agensi