Keluarga Arab Saudi hampir pasti ambil alih Newcastle United


  • Podium
  • Khamis, 07 Okt 2021

NEWCASTLE United bakal berbelanja sakan memburu pemain baharu tidak lama lagi. — Agensi
PUTERA Arab Saudi, Mohammed bin Salman (MBS) dilaporkan semakin hampir mengambil alih kelab bola sepak England, Newcastle United.

Khabar tentang pengambilalihan kelab tersebut menerusi syarikat konsortium milik MBS iaitu Public Investment Fund (PIF) tercetus pada Julai tahun lalu.

Namun, pelbagai isu termasuk hak penyiaran dan dakwaan pelanggaran hak asasi manusia membantutkan usaha MBS.

Berdasarkan laporan BBC, PIF sedia membeli 80 peratus pegangan saham Newcastle United yang bernilai kira-kira 300 juta pound (RM1.7 bilion).

Pemilik Newcastle, Mike Ashley dilaporkan sudah bersetuju dengan pembelian berkenaan.

Berhubung isu hak penyiaran, Arab Saudi tidak lagi terikat dengan stesen penyiaran beIN Sport. Stesen berkenaan pemegang hak penyiaran bola sepak di Asia Barat.

Dalam pada itu, PIF menegaskan dana untuk membeli saham Newcastle bukanlah wang rakyat negara berkenaan.

Perkembangan itu tentunya merancakkan lagi saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan para peminat kelab tersebut tentunya ingin mengetahui apakah perancangan seterusnya bakal dilakukan oleh PIF bagi memantapkan skuad terbabit. — Agensi