JARINGAN ke-112 Cristiano Ronaldo untuk Portugal ketika menewaskan Qatar 3-0 di Estadio Algarve sekali gus menyumbang kepada rekodnya sebagai penjaring terbanyak dalam bola sepak antarabangsa lelaki.
Ronaldo, 36, memecahkan rekod sepanjang zaman 109 gol milik Ali Daei bulan lalu manakala pada penampilan ke-181, Ronaldo turut memintas Sergio Ramos sebagai pemain lelaki Eropah dengan penampilan tertinggi.
Bagaimanapun, rekod dunia dengan 195 penampilan masih dimiliki legenda Malaysia, Datuk Soh Chin Ann, yang bersara pada tahun 1984.
Menerusi perlawanan di Estadio Algarve itu, Jose Fonte menjaringkan gol kedua Portugal di awal babak kedua, dan Andre Silva menjaringkan gol ketiga pada minit terakhir.
Kumpulan A kelayakan Piala Dunia 2022 hanya mempunyai lima pasukan dan pasukan yang tidak beraksi, akan mengharungi perlawanan persahabatan menentang tuan rumah, Qatar.
Kedudukan Portugal di puncak kumpulan dipintas oleh Serbia yang menewaskan Luxembourg 1-0 hasil jaringan Dusan Vlahovic.
Portugal kendalian Fernando Santos satu mata di belakang Serbia tetapi bermain kurang satu perlawanan. — Agensi
