Hakim gugur kes serangan seksual Ronaldo


  • Podium
  • Jumaat, 08 Okt 2021

RONALDO menafikan sekeras-kerasnya melakukan serangan seksual ke atas seorang model pada 2009. — Agensi

HAKIM sebuah mahkamah di Amerika Syarikat (AS) menyarankan untuk menolak kes sivil terhadap Cristiano Ronaldo berhubung insiden di Las Vegas lebih dari satu dekad yang lalu.

Berita itu sekali gus membersihkan nama bintang Portugal dan Manchester United berkenaan, selepas mahkamah Nevada di Las Vegas mendapati tuduhan dibuat oleh Kathryn Mayorga tidak boleh diterima.

"Kami berpuas hati dengan ulasan terperinci mahkamah berkenaan perkara ini dan kesanggupan mereka untuk membuat keputusan berdasarkan undang-undang dan fakta serta mencadangkan kes sivil ke atas Ronaldo digugurkan," kata peguam bela penyerang itu Peter S Christiansen.

Ronaldo menegaskan hubungannya dengan Mayorga adalah atas dasar suka sama suka dan mahkamah di Nevada membenarkan usul pemain Portugal itu untuk menggugurkan kes berkenaan.

Pasukan peguam Mayorga masih boleh membuat bantahan di atas keputusan mahkamah itu dalam tempoh 14 hari.

Jun lalu, pasukan peguam bela Ronaldo meminta mahkamah persekutuan menggugurkan dakwaan sivil ke atasnya.

Peguam Ronaldo mendakwa pasukan pendakwaan Mayorga memberikan dokumen curi kepada polis Las Vegas yang sedang menyiasat kes berkenaan.

Mayorga mendakwa dia diserang secara seksual oleh Ronaldo di bilik hotel di Las Vegas selepas dia keluar berpesta dengan pemain bola sepak itu pada tahun 2009.

12 tahun lalu Ronaldo membayar 375,000 pound (RM2.14 juta) kepada Mayorga sebagai penyelesaian kes berkenaan.

Pada tahun 2018, Mayorga cuba membatalkan penyelesaian itu dan kini meminta ganti rugi kerosakan dan kos sebanyak 56 juta pound (RM318.93 juta). Agensi

Ronaldo, serangan seksual, tuduhan