PELUMBA nombor satu dunia, Lewis Hamilton memberitahu bahawa dia akan memberikan 'serangan' maksimum untuk perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix Turki di Litar Istanbul Park pada Ahad.
Pemandu jentera Mercedes itu akan memulakan perlumbaan pada petak ke 11 selepas dikenakan penalti kerana memasang enjin baharu.
Katanya dia tidak akan menyerah meskipun tidak memulakan perlumbaan di kotak hadapan.
"Mata saya hanya tertumpu untuk menang dalam perlumbaan ini dan melepasi garisan penamat di tempat pertama.
"Ia tidak mustahil walaupun saya bermula di petak ke-11 dan saya akan lakukan yang terbaik walau dalam apa jua keadaan (cuaca) yang melanda," katanya.
Tambahnya lagi, meskipun bersemangat untuk melakukan yang terbaik dia juga akan mengambil pendekatan berhati-hati pada peringkat awal perlumbaan.
"Ini akan menjadi satu perlumbaan yang panjang.
"Saya perlu pastikan permulaan perlumbaan berjalan lancar untuk saya memintas kedudukan dan berada dihadapan," ujarnya.
Hamilton ketika ini mendahului pelumba Red Bull, Max Verstappen dengan dua mata dalam kedudukan juara.
Verstappen akan memulakan perlumbaan di posisi kedua, di belakang rakan sepasukan Hamilton, Valtteri Bottas. — Agensi
