Apek mahu ‘sailang’ posisi penjaga gol utama


  • Podium
  • Sabtu, 09 Okt 2021

APEK idam peluang untuk turun beraksi dalam kesebelasan utama ketika berdepan Uzbekistan di Stadium Antarabangsa Amman, Jordan malam ini. — Facebook/Melaka United

“SEMUA pemain di sini berada dalam keadaan bersedia!"

Itu reaksi Khairul Fahmi Che Mat merujuk kepada persaingan merebut posisi penjaga gol utama skuad Harimau Malaya menjelang aksi persahabatan menentang Uzbekistan di Stadium Antarabangsa Amman, malam ini.

Dengan ketiadaan Farizal Marlias yang sering mengisi slot itu pada aksi sebelum ini, Khairul Fahmi atau dikenali sebagai Apek mula mendambakan sesuatu pada penyertaannya kali ini.

Pengalaman di pentas antarabangsa sebelum ini diangkat sebagai ‘modal’ buatnya untuk diberi kepercayaan oleh pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe.

“Apabila diberi peluang (sertai skaud kebangsaan), saya akan cuba rebut posisi itu untuk selama yang mungkin.

“Macam saya, mungkin sudah lama tidak sertai aksi antarabangsa tetapi pengalaman saya mungkin boleh digunakan,” katanya.

Dalam aksi persahabatan sebelum ini, Harimau Malaya yang turun dengan ramai muka baharu dan muda tewas 0-4 kepada Jordan.

Ketika akur dengan kekalahan kepada Jordan, Apek melihat dua aksi persahabatan kali ini menjadi medan untuk pemain meyakinkan pengurusan pasukan bagi terus dipanggil selepas ini.

Misi penting Harimau Malaya selepas ini adalah Piala Suzuki AFF 2020 pada Disember ini dan Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 yang dijadualkan berlangsung tahun depan.

“Ini peluang untuk pemain tunjukkan sesuatu kepada pengurusan dan jurulatih. Kami akan cuba mencari tempat untuk berada dalam pasukan pada panggilan selepas ini,” katanya. — Majoriti