Uzbekistan medan ujian pemain muda Harimau Malaya


  • Podium
  • Sabtu, 09 Okt 2021

PELUANG yang bakal diberikan Tan Cheng Hoe wajar dimanfaatkan oleh pemain muda untuk raih pengalaman di pentas tertinggi. — Facebook/FAM

PENGENDALI Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe seakan memberikan bayangan bahawa beliau akan memberi peluang kepada pemain muda dalam aksi persahabatan kedua menentang Uzbekistan di Stadium Antarabangsa Amman, malam ini (Sabtu).

Walaupun tewas kepada Jordan dalam aksi persahabatan pertama pada Rabu, Cheng Hoe menyatakan rasa puas hati dengan prestasi pemain muda yang diturunkan.

Faisal Abdul Halim, 23, langsung tidak menunjukkan rasa gerun malah kemasukan kemasukan Luqman Hakim Shamsudin, 19, dan Mukhairi Ajmal, 20, sebagai pemain gantian turut menggembirakan Cheng Hoe yang berpendapat mereka wajar diberi lebih banyak untuk menonjolkan diri.

"Kita lihat kedua-duanya menyerlah ketika beraksi di peringkat bawah umur dan untuk skuad senior, mereka perlu diberi peluang mencari pengalaman.

"Daripada situ keyakinan mereka akan ada dan ia beri pilihan kepada barisan kejurulatihan untuk diserap pada masa depan," katanya.

Bagaimanapun, Cheng Hoe tidak mahu hanya menumpukan kepada memberi peluang kerana lebih utama adalah menyediakan pasukan terbaik untuk menghadapi Uzbekistan.

Cheng Hoe juga bertegas yang pemilihan pemain adalah berdasarkan apa penilaian terhadap pasukan lawan.

"Kami sentiasa menilai atau kaji semula pemain mana yang akan diturunkan menentang Uzbekistan nanti. Kalau tidak bermain dalam kesebelasan utama, kita kena lihat flow perlawanan, sama ada diturunkan dalam minit pertama atau pun lain-lain waktu.

"Bergantung kepada perlawanan sebenar. Yang pasti kita nak beri peluang kepada mereka (pemain muda)," katanya. — Majoriti