Siasatan kes Ziyad dijangka selesai hujung bulan ini


  • Podium
  • Jumaat, 08 Okt 2021

SIASATAN kes Ziyad dijangka mencapai tahap 80 hingga 90 peratus pada minggu depan. – The Star

PENGERUSI jawatankuasa siasatan dalaman berhubung pembatalan penyertaan dan kemenangan Muhammad Ziyad Zolkefli di Sukan Paralimpik Tokyo, Tan Sri Borhan Dola berharap kes itu dapat diselesaikan dengan segera.

Menurutnya, kes melibatkan jaguh lontar peluru F20 (kecacatan intelektual) kebangsaan itu dijangka selesai hujung bulan ini.

Jelasnya, dia juga berharap dapat merungkai persoalan sebenar yang membelenggu Muhammad ziyad pada temasya sukan berprestij itu.

Borhan yang juga bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam memaklumkan kesemua 10 individu dikenal pasti termasuk Muhammad ziyad, jurulatihnya Mohd Faizol Harun dan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin dijangka dipanggil ke mesyuarat jawatankuasa di Kementerian Belia dan Sukan di Putrajaya, pada Isnin dan Selasa depan.

"Saya tidak jamin siasatan akan selesai minggu depan namun ia dijangka mencapai tahap 80 hingga 90 peratus.

"Selebihnya mungkin bergantung sama ada terdapat individu tambahan yang mungkin dipanggil selepas ini atau sebaliknya. Mungkin selesai hujung bulan ini.," katanya.

Tambahnya lagi, senarai dipanggil mungkin lebih daripada 10 individu seperti yang dikenal pasti setakat ini.

"Namun, terpulang kepada mereka yang dikehendaki hadir itu untuk memaklumkan jika terdapat nama baharu yang boleh membantu siasatan dan sekiranya ada kami akan panggil," ujarnya lagi.

Beliau memberitahu, jawatankuasa bermesyuarat buat kali pertama di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil pada Selasa, membincangkan mengenai strategi serta skop siasatan selain mengenal pasti individu dikehendaki hadir untuk membantu pihaknya mendapat bayangan sebenar detik hitam melanda dunia sukan negara pada hari ketujuh temasya di Stadium Olimpik Tokyo itu.

Beliau turut mengulas berhubung tindakan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Stadium Olimpik Tokyo daripada penganjur Sukan Paralimpik Tokyo mengenai situasi sebenar di venue pertandingan.

Borhan mendedahkan belum berbuat demikian kerana masih menanti video berkenaan daripada pihak terlibat.

"Saya jamin siasatan yang dijalankan bebas daripada ‘tangan-tangan ghaib’ waima KBS sekalipun dalam menentukan syor atau tindakan sepatutnya diambil untuk menyelesaikan isu berkenaan.

"Sekiranya terdapat hujah kuat yang mengatakan kita boleh menang emas, kita akan syorkan apa tindakan yang boleh diambil KBS," katanya lagi.

Hurainya lagi, jika hujah itu tidak kuat, kita akan beri cadangan penambahbaikan kepada kontinjen negara bagi memastikan kes berkenaan tidak berulang pada masa depan.

"Kesemuanya terserah kepada KBS untuk menentukan tindakan seterusnya termasuk mahu membawa isu ini ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) atau sebaliknya.

"Sebarang hasil dapatan siasatan akan dirahsiakan terlebih dahulu sebelum menyerahkannya kepada KBS selain memaklumkan akan berjumpa dengan menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu untuk menerangkan dengan lanjut siasatan dijalankan selepas ia selesai," jelasnya lagi. – Bernama