Liverpool patut ikat Salah


  • Podium
  • Jumaat, 08 Okt 2021

LIVERPOOL tidak seharusnya kehilangan Salah secara percuma sebaik kontraknya tamat pada 2023. — Agensi

LIVERPOOL digesa untuk menawarkan kontrak lumayan kepada penyerangnya, Mohamed Salah bagi memastikan pemain Mesir itu kekal di Anfield.

Jika sebaliknya, The Reds berkemungkinan kehilangan khidmat Salah kepada Manchester City, kelab yang memungkinkan dia dapat menggandakan pendapatan.

Ketika ini, Salah cetus sensasi dengan mengetuai carta penjaring selepas meledak enam gol dalam tujuh perlawanan.

Terbaharu, pemain 29 tahun itu meledak jaringan solo menarik ketika seri 2-2 dengan Man.City minggu lepas apabila berjaya melepasi empat pertahanan sebelum melepaskan sepakan melepasi penjaga gol, Ederson.

Namun Liverpool mungkin berada dalam situasi cemas untuk mengadakan rundingan bersama Salah ketika kontrak semasanya akan tamat 2023.

Apatah lagi kelab itu sedang berdepan situasi dingin dengan ejen Salah, Ramy Abbas dan ada kebimbangan bekas penyerang Chelsea itu mencari cabaran baharu ke pasukan lain secara percuma.

"Apabila kamu memiliki pemain seperti Salah, kebiasanya tidak timbul persoalan untuk mengikatnya.

"Tiada persoalan kerana inilah keutamaan pasukan," kata bekas penyerang, Kevin Campbell yang masih lagi yakin Liverpool cuba mempertahankan Salah.

Ketika ini, Salah muncul salah seorang pemain terpantas yang mencapai gol ke 100 bersama kelab, mengatasi rekod milik Roger Hunt.

Malah kelibatnya kini menjadi figura besar dalam sejarah kelab ketika muncul watak utama yang membantu pasukan menjuarai Liga Juara-Juara 2018/19 dan Liga Perdana Inggeris 2019/20. — Agensi