Rintihan air mata Kisona


  • Podium
  • Sabtu, 09 Okt 2021

KISONA mahu mengalihkan tumpuannya pada perlawanan pertama Piala Uber menentang Denmark pada Sabtu.
PEMAIN perseorangan wanita badminton negara, S. Kisona mengakui kenyataan berbaur perkauman yang dilontarkan terhadapnya menerusi media sosial semasa kejohanan Piala Sudirman baru-baru ini menjejaskan psikologi dan prestasinya.

Bagaimanapun, pemain berusia 23 tahun dari Seremban, Negeri Sembilan itu bertekad untuk mengetepikan kejadian berkenaan dan memberi tumpuan kepada perlawanan pembukaan Piala Uber menentang tuan rumah Denmark pada Sabtu.

"Jelas (ia menjejaskan saya) kerana saya juga seorang manusia. Namun, saya perlu mengalih fokus pada perlawanan akan datang, saya serahkan kepada keluarga, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan pihak berkuasa berkaitan untuk menyelesaikan isu ini,” katanya selepas sesi latihan rasmi kedua pasukan di Ceres Arena, Denmark pada Jumaat.

Ketika disoal isu yang sama oleh media lain kemudiannya, Kisona tidak dapat menahan air matanya.

Satu kenyataan berbaur perkauman yang dibuat oleh bekas Naib Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pasir Puteh, Borhanuddin Che Rahim terhadap Kisona tersebar di media sosial baru-baru ini.

Kenyataan tersebut dibuat oleh Borhanuddin menerusi media sosialnya ketika Kisona berhadapan pemain nombor lima dunia, Akane Yamaguchi dalam saingan separuh akhir Piala Sudirman pada 2 Oktober lalu.

Sementara itu, bercakap mengenai perlawanan pada Sabtu, Kisona berkata, beliau dan rakan sepasukannya bersedia untuk berjuang sehingga garisan penamat walaupun berhadapan dengan pihak lawan yang menduduki ranking lebih tinggi.

"Ini akan menjadi kempen Piala Uber kedua saya selepas edisi Bangkok 2018, setakat ini saya selesa dengan venue dan cuaca (walaupun ada masanya mencecah bawah 10 darjah Celcius). Sudah pasti saya mahu beraksi dengan lebih baik berbanding Piala Sudirman dan tidak mahu merendahkan diri saya walaupun lawan saya lebih bagus.

"Saya rasa pasukan kita pun ada kekuatan sendiri, cuma pengalaman sahaja kurang. Kita akan beraksi dengan bersungguh-sungguh dan berjuang untuk memburu kemenangan, takkan kita datang untuk kalah,” tegasnya.

Dalam pada itu, Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann berkata, BAM, rakan sepasukan dan seluruh negara berada di belakang Kisona untuk mengatasi masalah itu dan akan terus memberi sokongan moral kepadanya.

"Saya percaya memang selalu ada keadaan yang tidak dijangka macam ini akan berlaku dalam kehidupan seseorang, tetapi saya percaya Kisona sebagai atlet profesional dapat mengatasinya dan belajar daripadanya,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden BAM, menurut Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, kes ini sangat terpencil kerana secara umumnya, rakyat Malaysia menghargai pengorbanan dan sumbangan atlet kebangsaan kepada negara.

"Saya rasa isu-isu sensitif dan perkauman ini tidak sepatutnya ada langsung dalam sukan negara kita dalam konsep keluarga Malaysia. Kita patut lebih menghargai mereka agar terus cekal menghadapi cabaran dalam keadaan pandemik ini,” katanya. — Bernama