Skuad Piala Uber negara 'tempang' berdepan Denmark


  • Podium
  • Sabtu, 09 Okt 2021

THINAAH (kanan) percaya semua pemain dalam pasukan badminton Piala Uber negara sudah bersedia berdepan Denmark malam ini. — Agensi
SKUAD Piala Uber Malaysia berkemungkinan terpaksa turun tanpa barisan terbaik pada perlawanan pembukaan menentang tuan rumah Denmark pada Sabtu, berikutan pemain beregu utama, Pearly Tan mengalami kecederaan bahu.

Pada sesi latihan di Ceres Arena, Denmark pada Jumaat, gandingannya iaitu M. Thinaah, 23, dilihat berlatih bersama-sama pemain senior yang juga kapten pasukan, Lee Meng Yean.

Bercakap kepada pemberita selepas sesi latihan itu, Pearly, 21, berkata, beliau mengalami kecederaan itu pada kempen Piala Sudirman di Vantaa, Finland baru-baru ini dan pemeriksaan dengan doktor setibanya di Denmark mendapati ada koyakan kecil pada bahu kanannya.

"Jadi, esok (Sabtu) saya perlu mengesahkan dengan jurulatih dan ahli fisioterapi sama ada saya dapat bermain atau tidak. Walaupun saya teruja dan tidak sabar membuat penampilan sulung pada Piala Uber, saya tidak yakin 100 peratus adakah saya boleh bermain.

"Saya perlu berada dalam keadaan baik untuk membolehkan saya bermain dan berikan prestasi terbaik. Jika tidak sembuh sepenuhnya, saya tidak boleh mengambil risiko dan lebih baik ada pemain lain yang boleh beraksi lebih baik daripada saya,” jelasnya.

Malaysia dijadualkan bertemu Denmark dalam perlawanan Kumpulan D pada pukul 7.30 malam waktu Malaysia pada Sabtu.

Pearly-Thinaah yang menduduki ranking ke-18 dunia, akan menentang pasangan nombor 16 dunia, Sara Thygesen-Maiken Fruergaard buat kali pertama.

Sementara itu, Meng Yean, 27, akan berpasangan dengan pemain muda, Go Pei Kee, 19, selepas rakan gandingannya Chow Mei Kuan mengumumkan persaraan selepas penampilan di temasya Sukan Olimpik Tokyo.

Dalam pada itu, Thinaah percaya semua pemain dalam pasukan sudah bersedia dan beliau sendiri bersedia menggalas cabaran.

"Saya cukup teruja dan bersedia dengan cabaran penampilan pertama dalam Piala Sudirman dan Uber pada tahun yang sama. Dapat bermain menentang ramai pemain utama dunia, saya rasa ia pengalaman yang bagus buat kami, tapi banyak lagi yang perlu dipelajari, kami masih belajar dan harap dapat perbaiki lagi,” katanya.

Malaysia diketuai pemenang pingat emas Sukan SEA 2019, S. Kisona selaku pemain perseorangan wanita utama negara dengan Eoon Qi Xuan, K Letshanaa dan Siti Nurshuhaini yang bersedia diturunkan selaku perseorangan kedua dan ketiga serta Yap Ling-Teoh Mei Xing, satu lagi beregu dalam pasukan.

Pencapaian terbaik skuad wanita negara pada saingan Piala Uber adalah layak ke suku akhir pada edisi 2008 dan 2010. — Bernama