
SEMUA pihak terutamanya pengguna media sosial dinasihatkan agar tidak membangkitkan api kemarahan serta mengelak daripada menggunakan guna kata-kata yang menghiris hati dan perasaan kaum lain demi menjaga perpaduan dan keharmonian Keluarga Malaysia, kata Datuk Halimah Sadique.
Menteri Perpaduan Negara itu berkata komen berbaur perkauman yang dilemparkan terhadap pemain badminton perseorangan wanita negara S.Kisona baru-baru ini tidak boleh diterima dalam budaya Malaysia yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama.
Beliau berkata ini memandangkan sukan telah lama jadi menjadi tapak integrasi perpaduan yang menyatukan rakyat Malaysia selama ini.
"Nasihat saya kepada semua pihak terutama pengguna media sosial jangan bangkitkan api kemarahan, elak guna kata-kata yang menghiris hati dan perasaan kaum lain demi kita jaga perpaduan dan keharmonian keluarga besar kita Keluarga Malaysia,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Cha Kee Chin (PH-Rasah) yang meminta pandangan menteri berhubung isu itu, memandangkan atlet berkenaan merupakan penduduk di kawasan Rasah yang menurut Cha telah berkorban banyak demi mengharumkan nama negara dan wajar dihargai.
Komen berbaur perkauman itu sebelum ini dilemparkan terhadap Kisona selepas pemain perseorangan wanita negara itu tewas di tangan pemain Jepun dalam aksi separuh akhir Piala Sudirman di Finland baru-baru ini. — Majoriti