Apa lagi yang perlu JDT buktikan?


  • Podium
  • Sabtu, 09 Okt 2021

JDT memiliki perjalanan yang hebat sepanjang penyertaan di saingan Liga Super setakat ini. — Facebook/ Johor Southern Tiger

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) sudah pun membina empayar besar dalam industri bola sepak Malaysia dengan kejayaan menjulang trofi Liga Super lapan kali berturut-turut.

Usaha berterusan Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam melakukan transformasi pasukan nyata makin meletakkan kelab itu di satu tahap lain berbanding pencabar.

Bermula daripada aspek paling kecil hinggalah terbesar, segalanya dijaga cukup rapi termasuk menitikberatkan soal data.

Melihat semula perjalanan kelab dalam saingan Liga Super sejak 2013, pencapaian yang diraih Harimau Selatan jelas membuktikan yang mereka sebenarnya berhak untuk dilabel kuasa besar.

Sejak musim 2013, JDT nyata pasukan yang sempurna apabila merekodkan 133 atau 71 peratus kemenangan dalam 187 perlawanan Liga Super yang diharungi.

jdt2

Daripada jumlah perlawanan itu, JDT meledak 392 kali atau persamaan 2.10 setiap satu perlawanan dan berjaya menamatkan 85 perlawanan tanpa bolos.

Secara tersurat, statistik itu cukup hebat dan jika sudut pandang yang tersirat, ia seakan beri peringatan buat kelab lain supaya segera meningkatkan tahap kompetitif.

Ketika ramai yang melihat JDT lebih cenderung ‘beli’ pemain daripada pasukan lawan, tanpa sedar juga Harimau Selatan sudah pun beri peluang kepada pemain muda meraih pengalaman khususnya dalam JDT II.

jdt3

Untuk musim 2021, enam ‘ubi muda’ mendapat peluang beraksi di Liga Premier bersama JDT II dan daripada senarai itu, Firdaus Ramli, 19 tahun dan Ahmad Aysar Hadi (18) nyata bertuah apabila sudah pun merekodkan 1,000 minit.

Umar Hakeem Redzuan (19) dan Rafiefikri Rosman (19) bermain 12 perlawanan manakala Alif Abdul Mutalib (19) dan K Daryl Sham (18) diberi peluang bermain dalam 10 dan tujuh perlawanan.

Pendekatan itu sebenarnya sudah pun membuahkan hasil selepas melihat Ramadhan Saifullah dan Arif Aiman Hanapi kini berada dalam senarai skuad utama dalam saingan Liga Super. — Majoriti