PM lancar pelan tindakan sukan negara


  • Podium
  • Sabtu, 09 Okt 2021

ISMAIL Sabri menyampaikan ucapan semasa majlis perasmian Hari Sukan Negara di KBS pada Sabtu. — Bernama
PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Sabtu menggariskan landasan untuk pembangunan sukan negara dengan mengerakkan rencana ke arah memperkasakan penglibatan wanita, mencungkil bakat baharu dan menjadikan sukan sebagai sumber baharu pertumbuhan ekonomi.

Ismail Sabri melancarkan Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan; Program Talent Identification and Development (MyTID) dan usaha penggubalan Pelan Tindakan Industri Sukan Negara sewaktu melancarkan Hari Sukan Negara (HSN) di Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Putrajaya pada Sabtu.

Menurut beliau, Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan menggariskan objektif, strategi dan inisiatif yang terancang ke arah memperkasa penglibatan dan penyertaan wanita dalam pelbagai bidang sukan ke arah menjadikan pembangunan sukan negara yang lebih inklusif dan seimbang.

"Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan disasarkan mampu meningkatkan penglibatan keseluruhan wanita dalam aktiviti sukan, kepimpinan dalam badan sukan dan penyertaan dalam kejurulatihan dan kepegawaian sukan," katanya.

Tambah Ismail Sabri, kerajaan memperuntukkan RM10 juta untuk menjayakan pelaksanaan Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan yang mengandungi lima teras, lapan objektif, 19 strategi dan 45 inisiatif.

"Jawatankuasa Wanita Dalam Sukan juga telah ditubuhkan bagi merancang dan memantau pelaksanaan pelan tindakan itu yang dianggotai 15 pakar rujuk, terdiri daripada wakil kementerian, badan sukan, bekas atlet dan individu berpengalaman," jelasnya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri turut melancarkan program MyTID melibatkan Kementerian Pendidikan (KPM) dan KBS (MyTID KPM-KBS) bagi mencungkil bakat-bakat sukan dalam melahirkan juara di temasya sukan antarabangsa.

Beliau berkata, program MyTID KPM-KBS itu dianggarkan melibatkan seramai 500 guru tenaga penguji terlatih yang dikenali sebagai Talent Eagle.

Penyertaan seramai 60,000 murid dari sekolah rendah Tahun Satu hingga Enam yang melibatkan semua Pejabat Pendidikan Daerah mengikut zon turut disasarkan.

"Program ini dijangka membantu memperluaskan penyertaan bakat-bakat baharu (talent pool) seawal usia tujuh tahun yang berpotensi di peringkat akar umbi untuk dikenal pasti dengan lebih awal dan mengurangkan risiko keciciran bakat,” ujarnya.

Perdana Menteri dalam pada itu berkata, KBS sedang menggubal Pelan Tindakan Industri Sukan Negara setelah mengambil kira menyedari kepentingan sukan sebagai salah satu penyumbang kepada ekonomi negara. — Bernama