Terengganu mahu lahirkan Safawi 2.0


  • Podium
  • Jumaat, 08 Okt 2021

SAFAWI Rasid sebelum ini pernah mencuri perhatian kelab Divisyen Satu Portugal, Portimonense SC.

JIKA dulu, arena bola sepak Malaysia memiliki ramai nama besar dan memiliki pelbagai kejayaan di pentas antarabangsa.

Sebut saja nama Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari, Datuk Soh Chin Ann, Datuk Santokh Singh, Datuk Shukor Salleh dan beberapa nama lagi, pasti ramai yang mengenalinya.

Jika melihat kepada pemain era moden, Malaysia juga memiliki beberapa nama besar seperti Safee Sali, Indra Putra Mahayuddin dan kini giliran pemain muda untuk meneruskan legasi.

Tanpa sedar, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, nama Safawi Rasid sudah menjadi satu jenama dan dianggap sebagai ikon buat pemain muda yang baru bertatih dalam industri.

tfc akademy

Akademi TFC oleh Kelab Bola Sepak Terengganu turut membawa misi melahirkan lebih ramai Safawi.

Safawi, kini beraksi bersama pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) selepas pemain sayap berusia 24 tahun itu mencipta nama dalam kesebelasan skuad T-Team.

Malah namanya bertambah popular apabila berhijrah secara pinjaman selama semusim bersama kelab utama Liga Premier, Portimonense SC, Portugal pada tahun lalu sebelum kembali ke pangkuan Harimau Selatan pada musim ini.

Menyedari impak yang ditunjukkan Safawi, penubuhan Akademi TFC oleh Kelab Bola Sepak Terengganu turut membawa misi melahirkan lebih ramai Safawi, yang kini anak kelahiran Dungun itu sudah pun dianggap sebagai idola dalam kalangan pemain muda.

Ketua Pegawai Eksekutif TFC, Ab Rasid Jusoh berkata antara misi penubuhan ini adalah untuk mengesan bakat baru dan menerapkan falsafah pasukan bermula daripada awal.

"Kita berikan (pendedahan) sains sukan daripada awal dan perkara ini perlu ditanam lebih awal supaya mereka tahu apa yang boleh dimakan, latihan apa yang perlu dibuat dan sebagainya.

"Kita nak kesan bakat-bakat dan bila kita sudah jumpa, kita akan latih mengikut falsafah Terengganu yang buat masa sekarang kita menerapkan gerakan bermula daripada bawah.

"Kita tidak boleh lahirkan 10 Safawi dalam satu masa tetapi mungkin dapat dua atau tiga orang, sekurang-kurangnya seorang," katanya. — Majoriti

terengganu, safawi rasid, Akademi TFC