'Tiada pengalaman tidak bermakna lemah'


  • Podium
  • Khamis, 07 Okt 2021

Wooi Yik mengakui cabaran Piala Thomas yang bakal dilalui bukan mudah, kerana pasukan lain memberikan tumpuan terhadap kejohanan berpasukan lelaki itu.
BIARPUN skuad Piala Thomas dan Uber Malaysia kali ini membariskan pemain muda yang rata-rata membuat penampilan pertama, namun ia tidak bermakna skuad negara lemah, kata pemain beregu lelaki utama, Soh Wooi Yik.

Menurutnya, dia percaya walaupun barisan pemain kali ini hanya mempunyai purata umur 22 tahun dan kurang pengalaman, mereka mempunyai potensi untuk menyerlah di kedua-dua kejohanan berpasukan itu yang bakal membuka tirai pada Sabtu ini di Ceres Arena.

Kata Wooi Yik yang meraih pingat gangsa Olimpik Tokyo bersama Aaron Chia, dia optimis bahawa skuad negara mampu memberikan tentangan yang sengit kepada pihak lawan.

"Harapan kita memang suku akhir, tetapi ia tidak bermakna pasukan kita lemah, cuma dari segi pengalaman berbanding dengan negara lain ada beza. Tetapi keadaan pasukan kita memang baik, kita akan berjuang dan bersedia dari segi mental,” katanya.

Bagaimanapun, Wooi Yik mengakui cabaran Piala Thomas yang bakal dilalui bukan mudah, kerana pasukan lain memberikan tumpuan terhadap kejohanan berpasukan lelaki itu.

"Kali ini saya melihat semua negara lain memang lebih fokus kepada Piala Thomas dan mereka hantar pemain yang terbaik. Namun, kita harus percaya kepada diri kita dan saya amat percaya kepada potensi pasukan Malaysia.

"Memang kondisi tidak akan sentiasa baik pada setiap perlawanan, saya rasa itu berlaku pada setiap pemain. Saya rasa cuma mental itu sangat penting pada acara pasukan... Kita dah biasa dengan keadaan itu, akan cuba terus mengekalkan prestasi,” katanya menjelang latihan rasmi pertama pasukan pada tengah hari ini (6 petang waktu Malaysia).

Mengulas mengenai kekurangan satu perlawanan pada aksi kumpulan berikutan penarikan diri pasukan England pada saat-saat terakhir, Wooi Yik berkata aksi itu sepatutnya dapat digunakan untuk membina momentum pemain negara.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan D, akan membuka kempen menentang Kanada pada 7 malam Selasa (1 pagi, Rabu waktu Malaysia), diikuti cabaran sengit menentang naib juara Jepun pada 8.30 pagi Khamis depan (2.30 petang waktu Malaysia).

Malaysia pernah muncul juara Piala Thomas sebanyak lima kali dengan kali terakhir pada 1992 di Stadium Negara, selain menamatkan saingan sebagai naib juara sebanyak sembilan kali termasuk pada edisi 2014 di New Delhi.

Bagi Piala Uber pula, Malaysia yang pernah beraksi sebanyak 12 kali dalam kejohanan itu, pernah mara ke pusingan suku akhir pada edisi 2008 dan 2010. — Bernama